Akhirnya kehadiran orang ketiga ‘rosakkan’ MN

SEGALA persoalan sudah terjawab. Hasrat UMNO untuk bersendirian menghadapi pilihan raya umum (PRU) hampir tercapai. Muafakat Nasional (MN) akan tinggal nama. Barisan Nasional (BN) pula belum pasti.

Hakikatnya masa ‘berbulan madu’ UMNO-Pas atas nama MN sudah berlalu.nMN yang dikatakan lahir atas air mata perpaduan hanya bertahan separuh jalan. Mungkin air mata itu sudah kering.

Ketika Pas dilihat boleh menjadi jambatan perpaduan, parti itu lebih selesa memilih rakan yang tidak memudaratkan.

Benarlah kehadiran ‘orang ketiga’ dalam kehidupan lebih menimbulkan masalah. Niat murni MN ‘rosak’ dengan kehadiran orang ketiga atas nama Parti Perikatan Nasional (PN).

Semuanya ini kerana kuasa dan takhta. Itu keutamaannya. Ditambah pula dengan pelbagai kenyataan yang merosakkan perpaduan.

Struktur yang dibina PN nampaknya semakin baik apabila parti-parti politik mula menunjukkan minat terhadap PN. Parti yang dulu bersama BN kini bernaung di bawah PN.

Tidak pasti apa pula pendirian MIC dan MCA atau PBRS yang masih setia bersama BN. Adakah mereka juga sedia beralih kepada PN?

Ketika UMNO masih ‘bercelaru’ dengan pelbagai kenyataan pemimpinnya yang pelbagai, PN terus ‘bekerja’ menyusun strategi menghadapi PRU bersama sekutunya dalam PN iaitu Pas yang juga rakan MN.

Dalam tempoh darurat ini, yang tinggal beberapa bulan lagi, PN sudah nampak hala tujunya manakala BN @ UMNO pula sudah ditunjukkan laluan bagaimana mahu menghadapi PRU.

Dengan slogan NO DAP, NO ANWAR apakah yang diharapkan UMNO? Adakah UMNO benar-benar solo dan andainya tanpa komponen, apakah lambang UMNO akan menjadi taruhan pada PRU nanti?

Memang menarik untuk melihat perkembangan ini. Tanpa kerjasama parti-parti politik dalam tiga kumpulan ini (PN, PH, BN) pertandingan tiga penjuru akan lebih terbuka. Tidak mustahil empat penjuru.

Pas tidak menghadapi masalah untuk bersama Bersatu atau UMNO kerana pengalaman luas dalam pelbagai ‘kolam’.

Pas bukan sekadar pernah ‘berenang’ bersama di kolam UMNO (BN) malahan pernah bersama di ‘kolam’ PKR dan DAP. Pas boleh ‘hidup’ tanpa kerajaan atau berkerajaan. Inikan pula di kolam Bersatu.

Dengan keputusan Pas ini, ia memberi kelegaan kepada Bersatu untuk menghadapi PRU dengan penuh bergaya. PN boleh bertanding di semua kerusi bagi menghadapi BN dan PH. Sokongan Pas benar-benar membantu Bersatu.

Pas tentunya lebih beruntung kerana berpeluang bertanding lebih banyak kerusi terutama di negeri-negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Dan bagi negeri di mana UMNO tidak mahu bertolak ansur untuk bertanding semua kerusi bolehlah bertanding kesemuanya tanpa ‘diganggu’ Pas atau Bersatu.

Persoalannya bersediakah UMNO bergerak secara solo? Apakah jaminan wakil rakyat UMNO tidak berpaking tadah ketika melihat kecelaruan ini?

Related posts

Leave a Comment