Belum masa UMNO tinggalkan Kabinet

PUTRAJAYA 31 Mac – Bukan sekarang masanya anggota Kabinet yang mewakili UMNO meletak jawatan. Mungkin Ogos selepas darurat berakhir. Setakat ini juga belum ada keputusan yang muktamad dari Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Justeru, sehingga hari ini, anggota Kabinet kekal dan sewajarnya tidak ada lagi cabar mencabar supaya menteri UMNO meletak jawatan. Mereka  yang mendesak perlu bersabar menanti kesudahannya pada Ogos nanti.

Hakikatnya keputusan sudah dibuat iaitu UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum nanti tetapi kekal bersama kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan. Pendirian ini perlu difahami.

Desakan meletak jawatan serta merta hanyalah satu cadangan bukan satu arahan yang konkrit daripada MKT.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata, kesemua menteri UMNO bersepakat untuk kekal dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN). keputusan itu dicapai selepas pertemuan beliau dengan para menteri itu pada Isnin.

“Menteri-menteri dari UMNO telah menemui saya pada hari Isnin, 29 Mac lalu.

Mereka meminta nasihat saya mengenai kedudukan mereka di dalam Kabinet berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam Kabinet kerana mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.

“Pada masa ini tumpuan utama kerajaan adalah untuk memerangi COVID-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau tidak mahu peletakan jawatan menteri-menteri UMNO menjejaskan segala perancangan kerajaan dalam mengendalikan isu Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua Menteri UMNO akan terus kekal berada di dalam Kabinet.

“Dengan kesepakatan ini, saya memberi jaminan bahawa Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang,” ujarnya.

PAU 2020 lalu telah meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 dan kebersamaan dalam kerajaan PN diteruskan hingga pembubaran Parlimen.

Related posts

Leave a Comment