Perjanjian global hadapi pandemik

PEMIMPIN 25 buah negara dan agensi antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersetuju bekerjasama ke arah mewujudkan perjanjian antarabangsa baharu untuk kesediaan dan tindak balas pandemik.

Mereka menyokong idea itu yang akan membantu dunia menangani keadaan darurat kesihatan pada masa depan seperti pandemik Covid-19 yang kini melanda dunia.

“Pandemik dan keadaan darurat kesihatan lain akan muncul. Tiada satu-satu pemerintah atau agensi pelbagai hala yang boleh menangani ancaman ini secara bersendirian,” kata para pemimpin itu dalam satu artikel pendapat bersama yang diterbitkan akhbar-akhbar utama.

“Persoalannya bukan jika, tapi bila. Bersama-sama, kita harus lebih bersedia untuk meramalkan, mencegah, mengesan, menilai dan bertindak balas dengan berkesan terhadap pandemik dengan cara yang sangat tersusun.

“Pandemik Covid-19 telah menjadi amaran keras dan menyakitkan bahawa tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat. ” kata artikel itu yang turut dikeluarkan WHO di Geneva.

Pandangan itu ditandatangani oleh J. V. Bainimarama (PM Fiji), Prayut Chan-o-cha (PM Thailand), António Luís Santos da Costa (PM Portugal), Mario Draghi (PM Itali), Klaus  Iohannis (Presiden Romania), Boris Johnson (PM Britain) Paul Kagame (Presiden Rwanda), Uhuru Kenyatta (Presiden Kenya),

Emmanuel Macron (Presiden Perancis); Angela Merkel (Chancellor Jerman); Charles Michel (Presiden Kesatuan Eropah); Kyriakos Mitsotakis (PM Greece) Moon Jae-in (Presiden Korea), Sebastián Piñera (Presiden Chile), Carlos Alvarado Quesada (Presiden Costa Rica), Edi Rama (PM Albania)

Cyril Ramaphosa (Presiden Afrika Selatan); Keith Rowley, PM Trinidad and Tobago), Mark Rutte (PM Netherlands), Kais Saied (Presiden Tunisia), Macky Sall (Presiden Senegal), Pedro Sánchez (PM Sepanyol), Erna Solberg (PM Norway), Aleksandar Vučić (Presiden Serbia), Joko Widodo (Presiden Indonesia), Volodymyr Zelensky (Presiden Ukraine) dan  Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Idea perjanjian sebegitu, yang akan memastikan akses menyeluruh dan saksama kepada vaksin, ubat-ubatan dan diagnostik untuk pandemik, diusulkan oleh pengerusi Kesatuan Eropah Charles Michel pada sidang kemuncak G20 November lalu.

“Kami percaya bahawa negara-negara patut bekerjasama ke arah perjanjian antarabangsa baru untuk kesediaan dan tindak balas pandemik,” kata mereka.

Matlamat utama perjanjian sedemikian adalah untuk memperkukuh daya tindak balas dunia terhadap pandemik masa depan melalui sistem amaran lebih baik, perkongsian data, penyelidikan serta pengeluaran dan pengedaran vaksin, ubat-ubatan, diagnostik dan peralatan pelindung peribadi, kata mereka.

Perjanjian tersebut juga akan menyatakan bahawa kesihatan manusia, haiwan dan planet semuanya saling berkaitan dan harus membawa kepada tanggungjawab bersama, ketelusan dan kerjasama secara global.

“Kami yakin bahawa adalah tanggungjawab kami sebagai pemimpin negara dan institusi antarabangsa, untuk memastikan bahawa dunia mempelajari daripada pandemik Covid-19,” tulis para pemimpin itu.

Related posts

Leave a Comment