Majlis kenduri dan rentas negeri

“KITA pesan banyak kali. Tiada siapa halang rentas negeri. Tapi lakukan rentas negeri dengan penuh tanggungjawab untuk JAGA KITA dan JAGA ORANG LAIN,” kata Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.

Dalam satu catatan, beliau berkata, walaupun Terengganu melaporkan empat kes sahaja (29 Mac) tetapi tiga adalah kes IMPORT B. IMPORT B bermaksud jangkitan adalah dari negeri lain. Jika tidak dikawal cepat boleh menular ke dalam komuniti.

“Nak jadi cerita ada tiga individu balik Kampung dari Selangor. Hadir majlis pertunangan adik di satu daerah. Saringan Covid 19 dibuat dan  disahkan positif. Mereka tidak bergejala. Tapi kena ingat hampir 70% kes positif di Terengganu tiada gejala. Setakat ini 4 orang disahkan positif, “ katanya.

Beliau berkata, majlis yang sepatutnya riang ria bertukar kepada duka kerana semua kes telah dimasukkan ke Hospital manakala semua kontak rapat telah dikurantinkan selama 10 hari.

“Kita bernasib baik sebab pasangan bercuti dan tak masuk kerja. Jika tidak mungkin menular tempat kerja pula. Kita bernasib baik juga sebab saringan dibuat cepat dan kurang pendedahan kepada ramai orang,” katanya.

Menurut beliau kenduri kendara boleh mencetuskan kluster besar jika tidak dikawal kerana kontak rapat semasa kenduri bukan terhad kepada kontak rapat famili sahaja.

“Mungkin ada tetamu terkena jangkitan kerana budaya bersalaman dan berpeluk. Jangan lupa kita ada tukang masak, tukang hidang, tukang andam dan lain-lain, semuanya berisiko kerana ada perkumpulan ramai dan pematuhan SOP longgar atau tiada langsung, “ katanya.

Bagaimana agaknya bila rentas negeri dibenarkan tak lama lagi..

Related posts

Leave a Comment