Dua wajah PN – induk dan kerajaan

APABILA kuasa sudah hilang, ‘takhta’ menjadi milik orang lain, maka bukan sekadar wakil rakyat yang akan melompat mengkhianati parti mereka malahan parti politik juga boleh ‘terbang’ melayang.

Begitulah yang terjadi kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO apabila tidak lagi menjadi induk dalam sebuah kerajaan yang dinamakan Perikatan Nasional (PN). UMNO dan BN ketika ini bagaikan pelakon tambahan atau mandur.

Kata Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan, “jika parti lain memilih meninggalkan UMNO dan BN, ia menandakan kita semakin menua dengan citra ketinggalan zaman. Maka kita harus meremajakan citra UMNO ini dengan menjadikan ia lebih baik dan bermutu,”

Ya UMNO sudah tua. UMNO lebih senior berbanding Bersatu walaupun watak yang mengendalikan parti itu orang senior, yang pernah bergelumang dengan UMNO.

BN kini tinggal empat parti, dulu 14. Parti komponen BN satu persatu membawa diri selepas pilihan raya umum (PRU) lalu. Sama ada yang menang kerusi atau sebaliknya, masing-masing ‘angkat kaki’ mencari tapak baharu.

Empat parti yang masih bersama BN adalah UMNO, MCA, MIC dan PBRS berbanding Parti PN yang dalam masa singkat dianggotai Bersatu, Pas, Star, SAPP, Gerakan dan terkini Parti Liberal Demokratik (LDP).

LDP, yang ditubuhkan pada 1989, sebelum ini merupakan parti komponen BN dan bertindak keluar semasa PRU 2018. Bekas Presiden parti itu, Chong Kah Kiat merupakan Ketua Menteri Sabah yang ke-13 dari 2001 hingga 2003.

Pas yang membentuk kerjasama dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) menjadi komponen utama PN bersama Bersatu. Pas masih mahu mempertahankan MN yang dibentuk bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini dianggotai Bersatu tetapi pada masa sama sudah menganggotai PN.

Nampaknya PN yang induknya Bersatu semakin hari semakin melebarkan pengaruhnya selepas ramai wakil rakyat melompat dan parti politik ‘terbang’ ghairah mencari landasan baharu yang lebih meyakinkan.

Pada masa yang sama ia juga didokong oleh parti beberapa orang wakil rakyat Bebas. Begitulah pentingnya menjadi induk walaupun hakikatnya induk yang ada bergantung kepada ihsan wakil rakyat lompat serta UMNO dan Pas.

Dalam tempoh darurat, ketika Dewan Rakyat tidak boleh bersidang dan PRU belum pasti masanya, entah berapa ramai lagi wakil rakyat akan melompat dalam apa yang didakwa oleh sesetengah pihak akibat berlaku tawar menawar.

Tidak mustahil ada lagi parti politik yang menyertai PN menjelang Ogos atau berakhirnya darurat. Jika tidak menyertai PN, parti sedia ada juga boleh menjadi penyumbang melalui pengkhianatan seperti dilakukan wakil rakyat UMNO dan PKR.

UMNO bukan komponen PN tetapi sebagai rakan yang menyokong kerajaan PN. Begitu juga dengan parti politik lain di Sabah dan Sarawak yang bukan menjadi komponen PN tetapi bersama PN membentuk kerajaan.

Mungkinkah melihat PN semakin mendapat sokongan parti politik di luar gabungan dan pengkhianatan wakil rakyat, PN yang kini dalam dua wajah sebagai parti induk dan kerajaan sedia bertanding di semua kawasan Parlimen jika UMNO terus berkeras dan tidak mahu bertolak ansur berhubung pengagihan kerusi.

Pengerusi PN yang juga Presiden  Bersatu, Muhyiddin Yassin, berkata beliau juga tidak kisah sama ada akan berlaku pertembungan banyak penjuru di kerusi berkenaan kerana ia adalah soal politik.

Sebagai kerajaan, PN tidak berhadapan masalah untuk menghadapi PRU lebih-lebih lagi dengan adanya Pas sebagai komponen utama sedangkan UMNO hanya mempunyai hubungan dengan Pas melalui MN.

Cuma tidak pasti apakah pendirian Pas sebenarnya sama ada ‘bersendirian’ seperti UMNO atau akan bersama PN sebagai parti komponen dan kerajaan.

Related posts

Leave a Comment