941, kes harian terendah 2021

PUTRAJAYA 29 Mac – Malaysia hari ini mencatat kes harian terendah tahun ini apabila merekodkan 941 kes menjadikan jumlah keseluruhan 342,885 kes.

Kali terakhir kes harian di bawah angka 1,000 ialah pada 9 Disember 2020.

Sebanyak 63 kes (6.7 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Pagar Bukit Chagar (60 kes), Kluster Penjara Harapan (1 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1 kes), dan Kluster Tembok Taiping (1 kes).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, sebanyak 1,097 pesakit sembuh direkodkan menjadikan kes pulih keseluruhan sebanyak 327,406 kes.

Manakala, keseluruhan kes aktif dalam negara kini mencecah angka 14,219 kes.

Dalam tempoh 24 jam lalu juga, negara mencatatkan tambahan lima kematian baharu menjadikan jumlah keseluruhan kematian 1,260.

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing dua  kes di Sarawak dan Sabah, serta satu kes di Selangor. Sebanyak empat kes melibatkan warganegara dan satu  bukan warganegara.

Katanya, seramai 166 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dan 73 lagi memerlukan bantuan alat pernafasan.

Related posts

Leave a Comment