21 kes baharu import di Singapura

SINGAPURA 29 Mac – Singapura merekodkan 21 kes baharu Covid-19 hari ini , kesemuanya adalah kes import dan tiada jangkitan dilaporkan dalam kalangan masyarakat atau di asrama pekerja asing.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH) kes jangkitan baharu itu termasuk tiga rakyat Singapura dan tiga Penduduk Tetap (PR) yang pulang dari India, Myanmar, Filipina dan Turki. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 60,321 kes.

Tiga kes adalah pemegang pas lawatan jangka pendek termasuk seorang lelaki berusia 34 tahun yang melakukan perjalanan dari Malaysia untuk membantu siasatan polis.

Dua lagi adalah pemegang pas jangka pendek yang tiba dari Kanada dan India untuk menziarahi keluarga manakala 11 kes adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, Myanmar dan Filipina, termasuk dua pembantu rumah asing.

Baki kes adalah pemegang pas tanggungan yang tiba dari India.

Sebanyak sembilan kes dibenarkan keluar hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah pesakit yang pulih seramai 60,131 orang.

Masih terdapat 39 kes yang berada di hospital dan sebahagian besar daripada mereka berada dalam keadaan stabil atau sedang beransur pulih dan cuma satu dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Related posts

Leave a Comment