BN bersendirian hadapi PRU

KUALA LUMPUR 28 Mac – Barisan Nasional (BN) memutuskan akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) secara bersendirian dengan menggunakan ‘panji-panji’ BN, kata Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi.

Pada masa yang sama, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan parti itu tetap dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi iaitu NO PPBM, NO ANWAR, NO DAP dalam menghadapi PRU akan datang.

Katanya, tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti tersebut sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

Beliau berkata, untuk menjadi dominan semula selepas PRU-15, UMNO mesti menang kerusi terbanyak dan BN perlu menentukan parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk kerajaan bersama.

“Dominan bukan bermaksud kita angkuh. UMNO adalah parti terbesar bangsa Melayu. UMNO adalah parti terbesar di negara ini. Apabila UMNO tidak menjadi tonggak kepimpinan negara ini, rakyat tidak lagi mengecapi kestabilan.

“Selama 22 bulan rakyat merana, Raja-Raja Melayu dihina, kepentingan Melayu diketepikan, Islam dicabar, Bahasa Kebangsaan diremehkan, aset-aset negara dilelong dengan sewenang-wenangnya,” katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2020 di sini hari ini.

Zahid menjelaskan keputusan itu bukan bermakna UMNO ego atau angkuh sebaliknya tidak mahu diperlakukan sembarangan bagaikan anak kecil.

“Kita menolak pembelot dan pengkhianat. Kita tidak mahu makhluk perosak yang memusnahkan parti. Budaya lompat parti semakin menjadi-jadi. Pengundi dan rakyat dikhianati. Jawatan dan ghanimah ditukar dengan maruah diri,” katanya.

Beliau berkata, politik ditentukan oleh kluster rakyat, bukan kluster gila kuasa, bukan kluster broker, bukan kluster oportunis atau kluster lompat pagar.

Ahmad Zahid juga mengingatkan tentang usaha pihak luar untuk memecah-belahkan UMNO yang masih belum berhenti.

“ Kita tahu, adanya pelbagai tawaran jawatan, pembelian pengaruh dan ugutan di peringkat cawangan, namun mereka tetap istiqamah, tetap teguh berada dalam UMNO,” katanya.

Justeru beliau mengajak anggota UMNO semua peringkat merapatkan barisan untuk mengorak langkah ke hadapan.

“UMNO yang pernah terluka dalam PRU-14, perlu bangkit semula bak harimau terluka mahu menerkam.Kita balut luka lama. Kita cari ubat untuk mengubati penyakit yang hinggap selama ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment