Keahlian UMNO 3.4 juta

KUALA LUMPUR 28 Mac – UMNO kekal sebagai parti politik terbesar dengan bilangan ahli paling ramai iaitu 3.4 juta orang membabitkan 21,883 cawangan di 191 bahagian di seluruh negara.

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan berkata, bilangan ahli teramai mengikut negeri ialah Sabah iaitu seramai 583,979 ahli, diikuti Johor (451,778); Selangor (421,899) dan Kedah (300,589).

Bahagian di Sabah mencatatkan bilangan ahli tertinggi iaitu Lahad Datu, Semporna dan Libaran masing-masing merekodkan jumlah seramai 46,570; 40,296 dan 38,131.

Bahagian Gombak, Selangor turut tersenarai dalam bilangan ahli teramai iaitu seramai 37,851 ahli dan diikuti Baling, Kedah iaitu seramai 37,512 ahli.

Sementara keahlian cawangan teramai didahului oleh Kampung Batu Putih Darat, Libaran 2, 779 ahli diikuti Kampung Tinosa Jaya, Libaran 2,368 ahli,  Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi  1,432 ahli dan  Felda Pemanis (1), Sekijang 1,307 ahli.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Laporan Setiausaha Agung sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) di sini, hari ini.

Ahmad berkata, UMNO juga sudah bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak kira bilakah ia akan diadakan.

Katanya, selepas tiga tahun (9 Mei 2021) daripada tarikh satu-satu pilihan raya, parti mesti menumpukan perhatian untuk satu lagi pilihan raya.

Dalam hal ini, Pengerusi Biro Latihan di bawah Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi Biro Naziran di bawah Mahdzir Khalid; Pengerusi Jawatankuasa Manifesto di bawah Khaled Nordin dan Pengarah Pilihan Raya, Tajuddin Abdul Rahman, semuanya sudah memulakan tanggungjawab gerak kerja di bawah mereka.

Related posts

Leave a Comment