UMNO bukan ‘anak ayam’

KUALA LUMPUR 27 Mac – UMNO perlu menjadi ‘striker’ (pemain utama) dan tidak boleh lagi menjadi ‘anak ayam’ sebaliknya sebagai induk ayam, kata Timbalan Presiden, Mohamad Hasan.

“Induk akan sayang semua anaknya. Bukan orang Melayu sahaja yang kami jaga, kami akan menjaga semua kaum juga,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas ucap utama beliau di Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020), beliau berkata, jawatan Perdana Menteri adalah untuk UMNO, untuk BN.

Katanya, UMNO yang sudah meneraju negara buat 60 tahun tidak biasa mengikut dan tunduk pada arahan mana-mana pihak.

“Walaupun UMNO merupakan salah satu komponen dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), UMNO cuma mengikut dan tunduk kepada arahan yang dikeluarkan. UMNO tidak biasa begitu.

“UMNO dan BN sudah 60 tahun meneraju negara dan kami mempunyai rekod yang baik. UMNO mesti menjadi parti induk dan teras kepada pentadbiran negara,” katanya.

Ditanya siapa calon terbaik dalam BN untuk diangkat sebagai Perdana Menteri, beliau dengan nada bergurau berkata, beliau calon paling sesuai.

“Saya hanya bergurau, parti akan membuat keputusan. Kami jangan terikat dengan cara konvesional tetapi perlu memikir kehendak semua pihak,” katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau berkata UMNO perlu mengambil kesempatan mengetengahkan semula BN sebagai kerajaan pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan ketidakcekapan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mohamad berkata kegagalan PH membuka mata rakyat bahawa hanya BN mampu mengurus negara serta memastikan kestabilan politik.

Katanya, rakyat telah menyaksikan kegagalan 22 bulan pemerintahan PH dan  kini rakyat sedang melihat pula ketidakcekapan dan kelembapan PN menguruskan negara.

“Walaupun UMNO adalah sebahagian dari Kerajaan PN, namun peranan UMNO sangat terpencil dan tidak dominan. Kita lebih duduk tunduk dari bangun menjadi induk. Ditambah pula dengan pendirian jelas, UMNO untuk tidak menyertai PN sejak awal dahulu.

“Sedar atau tidak, senario-senario ini sebenarnya memberikan UMNO kesempatan unik untuk mengetengahkan semula BN sebagai kerajaan pilihan rakyat. Sama ada dalam kalangan Melayu mahupun bukan Melayu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment