“Jangan gadai kerusi UMNO”

KUALA LUMPUR 27 Mac – Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, sekali lagi mengulangi pendirian parti bahawa semua kerusi UMNO adalah milik parti itu dan ia tidak akan sesekali dilepaskan.

Susulan itu, beliau berkata, UMNO tidak akan mengalah dan memperjudikan mana-mana kerusi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tegasnya, UMNO tidak akan memperjudikan mana-mana kerusi UMNO. Kerusi UMNO adalah kerusi UMNO, dulu, kini dan selamanya.

“Ia bukan untuk dilepaskan. Jangan gadaikan kerusi kita demi memberi talian hayat kepada mana-mana pihak. Jangan ada yang cuba untuk mengilas tangan UMNO,” katanya berucap merasmikan mesyuarat ketiga-tiga sayap parti sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Beliau berkata, UMNO tidak akan mengalah dan tidak akan melatah. UMNO tidak akan terpedaya dengan retorik kepentingan ummah dan perpaduan Melayu yang dibuat-buat.

Mengenai perpaduan, beliau menegaskan, tidak ada mana-mana pihak yang wajar mengajar UMNO bagaimana mahu menyatukan ummah kerana langkah itu sudah mula dilakukan sejak puluhan tahun lalu.

“Jangan berbicara tentang perpaduan ummah dengan UMNO kalau tuan-tuan sendiri berentap dengan mereka yang sebelum ini tuan-tuan peluk dan dakap mesra.

“Jangan berbicara tentang perpaduan ummah dengan UMNO kalau yang tuan-tuan tahu hanyalah memancing dan mengutip sesiapa sahaja yang pantas meninggalkan perjuangan bangsa, termasuklah mereka yang selama ini tidak berhenti-henti menghina dan merendah-rendahkan orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, perpaduan ummah kini menjadi begitu tular dan lumrah sejak kebelakangan ini seolah-olah ia begitu parah sedangkan pada pandangan beliau ia tidaklah terlalu meruncing dan hanya ada sedikit ‘kocakan’ sesekali.

Menurut Mohamad, UMNO berupaya menyatupadukan Malaysia dengan sokongan pelbagai parti komponen pada 1988 dan 1998.

Katanya, dalam segala perselisihan yang pernah wujud, UMNO tetap menerima kembali Semangat 46 ke pangkuan perpaduan bangsa.

Beliau berkata apabila gagal membentuk kerajaan tiga tahun lalu, UMNO menghulur tangan perpaduan kepada Pas sehingga terbentuknya Muafakat Nasional.

“Jadi, kepada pemimpin serpihan parti Melayu yang baru setahun jagung usianya, usahlah tuan-tuan berbicara tentang perpaduan ummah dengan UMNO apabila tuan-tuan sendiri tidak punya sebarang rekod menyatupadukan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment