Tahniah Lee Zii Jia

PERDANA Menteri, Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Lee Zii Jia yang merangkul kejuaraan kejohanan badminton All England semalam (Ahad).

Kejayaan itu katanya memberi makna besar dan suntikan motivasi kepada pemain itu.

Menerusi ucapan tahniah melalui Facebook, Muhyiddin menyifatkan perjalanan karier Zii Jia masih jauh dan berharap kemenangan ini dapat dijadikan sebagai perangsang untuk bekerja lebih keras dan menjadi lebih cemerlang pada masa hadapan.

“Kejayaan menundukkan pemain nombor dua dunia dari Denmark, Viktor Axelson memberi makna besar dan suntikan motivasi buat pemain muda negara berusia 23 tahun ini selepas ditewaskan oleh pemain yang sama di peringkat separuh akhir kejohanan ini, tahun lepas,” tulis Muhyiddin.

Tambahnya, kejuaraan ini lebih manis apabila Zii Jia berjaya menundukkan juara bertahan.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada BAM dan barisan kejurulatihan atas kejayaan ini.

“Syabas Lee Zii Jia! Anda wira kebanggaan negara,” kata Perdana Menteri.

Pemain perseorangan lelaki negara itu merangkul gelaran juara kejohanan badminton All England buat kali pertama, apabila beliau berjaya menewaskan pemain dari Denmark itu di Birmingham, England.

Zii Jia menundukkan Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 dalam perlawanan yang berlanjutan ke tiga set.

Related posts

Leave a Comment