7 wakil rakyat tewas pemilihan DAP

TANJONG 22 Mac – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kekal sebagai Pengerusi DAP negeri yang disandangnya sejak tahun 1999.

Beliau sebelum itu memperoleh 1,211 undi iaitu tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang bagi penggal 2021-2024 yang berlangsung semalam.

Pemilihan itu juga menyaksikan tujuh wakil rakyat iaitu ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tewas.

Mereka adalah anak mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang memperoleh 575 undi dan Ketua Wanita Pakatan Harapan Pusat, Chong Eng yang juga ADUN Padang Lalang memperoleh 417 undi.

Turut tewas Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto serta empat lagi ADUN iaitu Gooi Zi Sen (Pengkalan Kota), Heng Lee Lee (Berapit), Lim Siew Khim (Sungai Pinang) dan M. Satees (Bagan Dalam).

Pasangan adik beradik yang dipilih ialah Phee Boon Poh dan adiknya Boon Chee selain adik perempuan kepada setiausaha agung parti pusat Lim Guan Eng, Lim Hui Ying turut kekal dalam jawatankuasa negeri.

Sejumlah 1,608 undi diberikan kepada 44 calon yang bertanding dan hanya 15 calon yang mendapat undi tertinggi dipilih menduduki jawatankuasa negeri manakala lima lantikan tambahan dibuat Jawatankuasa Tertinggi selepas pemilihan tersebut.

Ramkarpal dan Chong Eng terpilih bagi lantikan lima tambahan tersebut.

Sementara itu Kon Yeow berharap semua yang dipilih akan berkerja keras dan membantu parti memerangi tiga krisis iaitu krisis kesihatan, ekonomi dan krisis politik untuk memenangi undi rakyat.

Related posts

Leave a Comment