Terminal penumpang Kuala Kedah ditutup

LANGKAWI 19 Sept. – Operasi Terminal Penumpang Kuala Kedah ditutup tiga hari sehingga Sabtu ini, berikutan angin kencang dan laut bergelora, kata Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom.

Beliau berkata semua perjalanan feri penumpang yang dijadual berlepas dari terminal dan sebaliknya, dibatalkan sepanjang tempoh sama.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi Selat Melaka Utara sehingga 21 September, jadi operasi feri menerusi terminal itu dihentikan sementara.

“Gangguan operasi feri akibat cuaca tidak menentu di perairan Selat Melaka Utara mulai kelmarin sehingga Sabtu ini telah menyebabkan seramai 12,532 penumpang terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun pihaknya akan mengaktifkan feri tambahan menerusi Terminal Penumpang Kuala Perlis berdasarkan kepada keupayaan terminal menerima jumlah feri pada satu-satu masa.

“Langkah yang bertujuan membantu pelancong yang mahu meneruskan perjalanan ke Langkawi itu juga hanya akan dilakukan selepas mendapat kelulusan Jabatan Laut Malaysia.

Sehubungan itu, sepanjang penutupan sementara Terminal Penumpang Kuala Kedah, penumpang dinasihatkan menukar laluan ke Terminal Penumpang Kuala Perlis sehingga cuaca kembali pulih.

Beliau berkata, penumpang yang terjejas boleh menuntut bayaran balik atau menukar tarikh perjalanan.

Terdahulu, sebanyak 10 perjalanan feri laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi terpaksa dibatalkan berikutan angin kencang dan ombak besar di perairan Kuala Kedah hari ini.

Memetik laporan Bernama, Baharin, berkata semua operasi feri bagi laluan berkenaan dibatalkan bagi hari ketiga berikutan angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer perjam (km/j) serta ombak setinggi 3.5 meter.

“Operasi feri hari ini terpaksa dibatalkan kerana ia boleh membahayakan keselamatan penumpang dan anak kapal. Sebuah feri yang bertolak dari Langkawi ke Kuala Kedah pada 8.30 pagi tadi yang membawa 589 penumpang juga terpaksa berpatah balik.

“Sebanyak lima feri dari laluan Langkawi ke Kuala Kedah dibatalkan hari ini yang melibatkan seramai 2,472 penumpang iaitu feri pada 8.30 pagi; 10.30 pagi; 12 tengah hari; 1.30 tengah hari dan 2.30 petang,” katanya

Beliau berkata bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi pula sebanyak lima feri yang membabitkan 1,041 penumpang terpaksa dibatalkan iaitu feri pada 10 pagi; 11.30 pagi; 1.30 tengah hari; 3 petang dan 4.30 petang.

Penumpang yang terjejas boleh menuntut bayaran balik atau menukar tarikh perjalanan dan bagi penumpang yang membuat pembelian insurans bernilai RM1.08 mereka boleh membuat tuntutan insurans.

Baharin berkata bagi feri yang ditunda antara empat hingga lapan jam, penumpang akan menerima tuntutan insurans berjumlah RM50; feri ditunda melebihi lapan jam (RM200); perbelanjaan perubatan akibat kemalangan (hingga RM1,000); kehilangan bagasi (hingga RM200); kematian dan hilang supaya kekal akibat kemalangan (RM30,000) dan perbelanjaan pengebumian bagi semua kes berjumlah RM500.

“Tuntutan insurans boleh dilakukan dengan menghantar butiran tuntutan beserta dokumen sokongan kepada ANcare@agentnow.com.my atau berhubung dengan pegawai Puan Adeline di talian 012-4109614; Puan Go (016-4540128); Cik Afa (013-6754046) atau pejabat di talian 04-2279999.

“Sebarang pertanyaan boleh dibuat bermula 10 pagi hingga 4 petang dari Isnin hingga Jumaat. Perjalanan keluar masuk ke Langkawi melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis masih selamat untuk semua operasi perkhidmatan feri dan feri roll-on roll-off (RORO) ketika ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment