Filipina ambil langkah drastik

MANILA 22 Mac – Selepas tiga hari berturut-turut merekodkan lebih 7,000 kes positif, Filipina mengambil langkah lebih tegas dengan melaksanakan perintah ‘kuarantin masyarakat’ selama dua minggu mulai hari ini sehingga 4 April.

Langkah ‘drastik dan segera’ itu bagi  membendung penularan wabak itu terutama di  Metro Manila dan wilayah sekitarnya iaitu iaitu Rizal, Cavite, Laguna dan Bulacan.

Di bawah peraturan baharu itu, antara langkah yang diambil termasuklah gereja ditutup dan semua perhimpunan berkaitan keagamaan tidak dibenarkan, arahan duduk di rumah dan larangan rentas wilayah.

Menurut memorandum pejabat Presiden yang dikeluarkan semalam, majlis perkahwinan, pembaptisan dan urusan pengebumian pula dihadkan kepada 10 orang sahaja.

Filipina sejak tiga hari lalu merekodkan lebih 7,000 kes di mana paling tinggi pada Sabtu dengan merekodkan 7,999 kes dengan jumlah keseluruhan kini meningkat kepada 663,794.

Kira-kira separuh kes aktif adalah di Metro Manila, di mana kebanyakan daripada 12 juta penduduknya tinggal dalam keadaan serba miskin di kejiranan-kejiranan yang sesak.

Peraturan baharu itu turut melarang makan di restoran kecuali untuk dibawa pulang atau penghantaran sementara perjalanan ke luar negara disekat.

“Kami mempunyai dua matlamat: Untuk mengurangkan penularan jangkitan virus itu di Metro Manila dan mengelak penularan lanjut virus itu, khususnya varian baharu , di luar Metro Manila kerana kami tahu ini lebih mudah berjangkit,” kata jurucakap presiden Harry Roque.

Pengangkutan awam akan terus beroperasi dan para pekerja dibenarkan keluar bekerja memandangkan pemerintah negara itu tidak melaksanakan sekali lagi perintah berkurung di pusat utama ekonomi negara itu.

Bagaimanapun perintah berkurung akan dikenakan mulai pukul 10 malam sehingga 5 pagi manakala mereka di bawah umur 18 tahun dan 65 tahun ke atas diminta duduk di rumah.

Perjalanan tidak penting bagi keluar masuk wilayah-wilayah terjejas tetap dilarang dan ini menjadi isu bagi para pengendali pelancongan yang menanti-nantikan cuti Easter di mana ramai rakyat Filipina berpusu-pusu ke pantai dan kawasan pergunungan.

“Kami tahu sebahagian anda mempunyai rancangan dan menanti-nantikan cuti Good Friday ini, namun jika kami membenarkan perjalanan tanpa had sekarang, varian baharu virus ini akan menular lebih pantas di daerah-daerah lain Filipina,” kata Roque.

Keadaan sekarang ini menunjukkan katil-katil di hospital, termasuk di unit-unit jagaan rapi, di ibu kota itu akan penuh menjelang minggu pertama April.

Related posts

Leave a Comment