100 kes baharu di Thailand

BANGKOK 19 Mac – Thailand merekodkan 100 kes baharu Covid-19 hari ini berbanding 92 yang dilaporkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan 27,594 kes.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, satu kematian juga dilaporkan dan ini membawa kepada jumlah kumulatif 90 kematian.

Kes kematian hari ini melibatkan seorang wanita warganegara Thai berusia 53 tahun yang tinggal dan bekerja di Samut Sakhon.

Wanita itu juga menghidap penyakit kronik termasuk kencing manis, jantung dan paru-paru.

Dia dimasukkan ke hospital pada 3 Februari di Samut Sakhon dan didapati positif Covid-19. Pada hari berikutnya dipindahkan ke hospital di Bangkok sebelum meninggal dunia pada 17 Mac.

Daripada 100 kes tempatan, 47 dilaporkan di  Samut Sakhon, Bangkok 22 kes, dan lain-lain wilayah 27.

Empat kes import pula ketibaan masing-masing satu dari Jepun, Emiriyah Arab Bersatu, Netherlands dan Perancis.

Sebanyak 26,450 pesakit dilaporkan sembuh termasuk 73 yang pulih hari ini manakala 1,054 lagi masih di hospital.

Related posts

Leave a Comment