Masjid, surau di WP kembali normal

PUTRAJAYA 17 Mac – Aktiviti ibadah di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan kembali kepada ‘normal’ dengan penjarakan fizikal mulai esok, 18 Mac.

Ini bermakna bilangan jemaah bagi solat Jumaat, fardu dan aktiviti pengimarahan masjid dibenarkan mengikut ruangan masjid serta surau.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Ajib Ismail, kebenaran itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun jelasnya, penjarakan fizikal 1.5 meter masih perlu diamalkan setiap jemaah.

Bagi aktiviti pengimarahan, masjid dan surau di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan mengadakan aktiviti seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha dan lain-lain dengan jarak fizikal sama,” jelasnya dalam kenyataan.

Bagi aktiviti pengimarahan Ramadan pula, solat sunat tarawih, tadarus dan qiamullail dibenarkan.

“Had jemaah bagi solat sunat tarawih adalah mengikut kapasiti masjid dan surau. Ia hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan bacaan surah-surah atau ayat-ayat pendek,” katanya.

Bagaimanapun tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat sunat tarawih. Bagi Tadarus al-Quran pula boleh dilaksanakan dengan jumlah peserta separuh daripada kapasiti dewan solat utama.

Sementara qiamullail boleh dilaksanakan iaitu 30 minit sebelum waktu imsak.

“Jamuan berbuka puasa dan moreh bagaimanapun tidak dibenarkan, sebaliknya pihak jawatankuasa masjid digalakkan menyedia juadah berbuka puasa secara berbungkus.

Walaupun moreh tidak dibenarkan, jawatankuasa kariah boleh menyediakan makanan secara berbungkus selepas tarawih untuk dibawa pulang oleh jemaah.

Related posts

Leave a Comment