Letupan: Daesh mengaku bertanggungjawab

DUBAI: Daesh mengaku bertanggungjawab atas dua letupan di bandar Kerman, Iran yang mengorbankan hampir 100 orang dan mencederakan ramai lagi pada upacara peringatan kematian komander tertinggi Qassem Soleimani.

Dalam kenyataan yang disiarkan di saluran Telegram sekutunya, kumpulan itu berkata, dua anggota Daesh meletupkan tali pinggang dengan bahan letupan di khalayak umum di tanah perkuburan di Kerman, tenggara Iran pada Rabu.

Di Washington, jurucakap Rumah Putih, John Kirby pada Khamis memberitahu pemberita bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak meragui dakwaan Daesh yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Teheran sebelum ini menyalahkan kes letupan itu sebagai serangan ‘pengganas’ dan berikrar membalas dendam atas serangan paling berdarah sejak Revolusi Islam 1979.

Naib Presiden Pertama Iran, Mohammad Mokhber, berkata letupan berkembar itu turut mencederakan 284 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Mereka akan menerima tindak balas yang sangat hebat daripada tentera Qassem Soleimani,” katanya di Kerman.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), dalam satu kenyataan mengutuk tindakan itu sebagai ‘serangan pengganas yang pengecut’ dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta kerajaan Iran.

Stesen televisyen kerajaan menunjukkan orang ramai berkumpul di beberapa bandar di seluruh Iran, termasuk Kerman dan melaungkan: “Kematian kepada Israel” dan “Kematian kepada Amerika.”

Related posts

Leave a Comment