Ireland juga tangguh AstraZeneca

IRELAND turut menyertai beberapa negara lain menangguhkan sementara penggunaan vaksin AstraZeneca sebagai langkah berjaga-jaga selepas berlaku laporan kes pembekuan darah yang serius.

Timbalan Ketua Pegawai Perubatan Ireland Dr Ronan Glynn berkata cadangan itu dibuat setelah Agensi Perubatan Norway melaporkan empat kes pembekuan darah dalam kalangan orang dewasa setelah disuntik vaksin berkenaan.

Kata Glynn, walaupun tiada bukti kes berkenaan mempunyai kaitan dengan suntikan vaksin, namun syor penangguhan pemberian vaksin adalah sebagai langkah berjaga-jaga.

Melalui Facebooknya, beliau berkata Jawatankuasa Penasihat Imunisasai Kebangsaan akan bekerjasama dengan Agensi Perubatan Eropah bagi menyiasat dan mengumpul data berkaitan sebelum tindakan selanjutnya.

Denmark, Norway dan Iceland antara negara yang mengambil langkah yang sama walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pengawal selia perubatan Kesatuan Eropah (EU) berkata tiada kaitan antara suntikan dan peningkatan risiko darah beku.

Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) Britain pula menyatakan, laporan kes pembekuan darah yang diterima setakat ini, sedikit berbanding jumlah keseluruhan populasi yang divaksin.

Selain itu, kes yang dilaporkan tidak mengesahkan bahawa vaksin adalah penyebabnya.

AstraZeneca pula mengeluarkan kenyataan bahawa, setelah meninjau data keselamatan lebih daripada 17 juta yang divaksinasi di EU dan UK, didapati bahawa tiada bukti peningkatan risiko embolisme paru, trombosis saraf dalam (DVT) atau trombositopenia, dalam mana-mana kumpulan umur, jantina, kumpulan atau negara tertentu.

Related posts

Leave a Comment