Tidak ada alasan gantung AstraZeneca

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan tidak ada alasan untuk menggantung penggunaan vaksin Covid-19 AstraZeneca kerana tidak ada sebarang bukti kukuh yang mengaitkan penerimaan vaksin tersebut boleh mengakibatkan masalah pembekuaan darah.

Jurucakap WHO, Margaret Harris berkata, tidak ada sebarang indikator yang menyokong suntikan vaksin tersebut boleh meningkatkan risiko pembekuaan darah.

Sambil menyifatkannya sebagai ‘vaksin terbaik’, beliau berkata, ia perlu diteruskan.

Menurutnya, setakat ini kira-kira lima juta rakyat Eropah sudah menerima suntikan AstraZeneca.

Beliau menjelaskan di Eropah sahaja, lebih 30 pesakit yang mempunyai thromboembolism, iaitu masalah darah beku dimasukkan ke hospital selepas menerima suntikan vaksin.

“Kita juga menerima laporan kematian seorang lelaki berusia 50-an di Itali selepas mengalami deep vein trombosis (DVT) atau pendarahan beku dalam urat.

“WHO sedang menyiasat laporan-laporan itu,” kata Harris di sini, semalam.

Isnin lalu Austria mengumumkan penggantungan penggunaan vaksin AstraZeneca selepas seorang jururawat berusia 49 tahun meninggal dunia disebabkan masalah pembekuan darah yang teruk, beberapa hari selepas menerima suntikan

Empat negara Eropah lain iaitu Estonia, Latvia, Lithuania dan Luxembourg juga menggantung penggunaan vaksin terbabit, yang turut dihantar ke 17 negara Eropah lain membabitkan satu juta suntikan.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pihaknya sedar bahawa beberapa negara telah menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca, berdasarkan laporan pembekuan darah terhadap beberapa orang yang menerima dos vaksin berkenaan.

Dalam taklimat medianya di Geneva, beliau berkata Agensi Ubat-ubatan Eropah menyatakan tidak ada petunjuk adanya hubungan antara vaksin dan pembekuan darah, dan vaksin itu boleh terus digunakan.

Related posts

Leave a Comment