9 import, satu tempatan di Singapura

SINGAPURA 12 Mac – Sembilan kes import dan satu kes dalam masyarakat dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di Singapura 60,080 dan jumlah kematian kekal 29.

Menurut Kementerian Kesihatan kes masyarakat melibatkan seorang lelaki warga India, 36 pemegang pas kerja sebagai jurutera IT di Deutsche Bank. Kesnya setakat ini tidak ada kaitan dengan mana-mana kes.

Beliau tiba di Singapura pada 16 Januari dan dikenakan notis jangan keluar rumah (SHN) di sebuah kemudahan khusus sehingga 30 Januari.

Beliau bekerja dari rumah sejak tiba di Singapura dan keputusan ujian Covid-19 yang dibuat pada 29 Januari semasa SHN adalah negatif.

Pada 1 Mac, lelaki itu mengalami selesema dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik GP pada hari yang sama.

Dia kemudian disahkan positif Covid-19 pada 11 Mac semasa menjalani ujian sebelum berangkat sebagai persiapan untuk pulang ke India.

Kes import pula melibatkan seorang pemegang pas pelajar yang tiba dari Indonesia dan dua pemegang pas lawatan jangka pendek dari Indonesia dan Kemboja.

Empat lagi kes adalah pembantu rumah asing dari Indonesia dan Filipina manakala  dua lagi melibatkan pemegang pas kerja yang tiba dari Switzerland dan Indonesia.

Sementara itu, 11 lagi pesakit dibenarkan pulang dari hospital menjadikan 59,950 pesakit pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.

Setakat ini, 21 pesakit masih dirawat di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil dan seorang pesakit dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Sebanyak 80 kes diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.

Related posts

Leave a Comment