Perpaduan lindungi tempat ibadah

SINGAPURA 11 Mac – Tempat-tempat ibadat hanya boleh dilindungi menerusi perpaduan, kata Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Malahan katanya, al-Quran menyatakan bahawa perbuatan melindungi tempat-tempat beribadat adalah suatu perbuatan mulia. 

“Ini adalah komitmen kami dan kami akan melakukan semua yang termampu untuk melindunginya,” katanya melalui kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) semalam..

Kenyataan itu merujuk penahanan seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa , Amirull Ali, 20 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Belia itu didakwa merancang melakukan serangan ke atas masyarakat Yahudi di rumah ibadat mereka di Waterloo Street.

Dr Nazirudin turut menyatakan rasa sedih dan prihatin mengenai penangkapan belia yang membuat rancangan untuk menyerang sebuah saumaah.

Katanya, semua tindakan pengganasan dan keganasan tiada tempat dalam apa jua agama.

Dalam surat kepada masyarakat Yahudi yang dialamatkan kepada Ketua Rabbi Singapura, Rabbi Mordechai Abergel, Dr Nazirudin menekankan lagi ikatan persahabatan dan kedamaian yang dikongsi masyarakat berbilang agama Singapura.

“Kami amat bersyukur bahawa masyarakat Singapura dari semua kepercayaan mempunyai hubungan dan ikatan yang kukuh untuk sama-sama bersatu menghadapi ancaman ini,” katanya.

Beliau berkata, kedamaian dan harmoni adalah satu rahmat dan kurnia yang tidak harus dipandang ringan atau diperlekeh.

Mufti juga melahirkan harapan agar masyarakat Singapura terus berdiri bersatu dan mengekalkan ikatan kasih sayang, perdamaian dan saling hormat menghormati dalam memelihara perpaduan sosial dan harmoni di Singapura.

Semalam, Dr Nazirudin dan Ketua Eksekutif MUIS Esa Masood mengunjungi rakan-rakan dari masyarakat Yahudi di saumaah Maghain Aboth, yang disasarkan Amirull Ali untuk melakukan serangan ke atas tiga lelaki Yahudi selepas tamat sesi ibadah beramai-ramai masyarakat itu setiap Sabtu.

Kunjungan mereka itu untuk memperkukuh persahabatan serta iltizam bagi memupuk keamanan bersama. Ini termasuk menolak segala bentuk fahaman pelampau, radikal dan keganasan.

Dalam kenyataan itu, Dr. Nazirudin berkata: “Kepada lelaki muda ini, dan individu lain sebelumnya yang menjadi radikal sendiri, kami menganggap perbuatan ini mencemari dan mencalar imej Islam. Ini bertentangan dengan nilai-nilai dan ajaran al-Quran.

“Tiada ruang langsung bagi kepercayaan atau ideologi sedemikian , dan kami akan terus melakukan segalanya untuk melindungi masyarakat dan golongan muda daripada idea-idea radikal dan melampau.” katanya.

Related posts

Leave a Comment