Tambahan 10,000 kuota haji

RIYADH 10 Mac – Malaysia akan mendapat tambahan 10,000 kuota haji apabila keadaan Covid-19 pulih sepenuhnya, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Kita sudah dapat keputusan baik persetujuan. Apabila keadaan (Covid-19) pulih sepenuhnya, kuota haji ditambah 10,000,” katanya selepas menghadap Putera Mahkota Putera Mohammed Salman di Istana Yamamah, di sini.

Ketika ini, kuota rasmi haji bagi jemaah Malaysia adalah 31,600.

Berdasarkan ketetapan yang dibuat oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kuota jemaah haji bagi sesebuah negara adalah 0.1 peratus daripada jumlah penduduknya.

“Putera Mahkota juga memaklumkan kota Mekah dan Madinah masih dalam proses pembesaran dan ini boleh menambah jumlah haji dan umrah. Saya dimaklumkan Malaysia akan diberi perhatian utama dalam pertambahan jumlah jemaah,” katanya.

Pertemuan 90 minit di antara Perdana Menteri dan Putera Mohammed yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi turut disertai Menteri Luar Hishammuddin Tun Hussein.

Ia merupakan kemuncak lawatan rasmi empat hari Muhyiddin ke Arab Saudi dan berlangsung mengikut prosedur operasi standard kesihatan dan keselamatan yang amat ketat.

Pada pertemuan itu, kedua-dua negara turut menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) inisiatif Perkhidmatan Jalan Makkah.

Inisiatif tersebut akan memudahkan proses prapelepasan jemaah Haji dan Umrah Malaysia, seperti urusan penerbangan, semakan visa dan pasport, prosedur kastam dan urusan logistik lain.

MoU ditandatangani Hishammuddin bagi pihak Malaysia dan rakan sejawatannya Putera Faisal Farhan Al-Saud.

Related posts

Leave a Comment