Wanita berdepan keganasan

GENEVA 10 Mac – Kaji selidik yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati nisbah seorang daripada tiga wanita di seluruh dunia berdepan dengan keganasan fizikal atau seksual dalam kehidupan mereka.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus ketika mendedahkan laporan hasil kajian itu berkata, ia sesuatu yang membimbangkan dan menggesa kerajaan dan komuniti memberi perhatian terhadap perkara ini.

Dr Tedros berkata, antara perhatian yang boleh diberi adalah berkaitan perubahan  undang-undang, memperkukuhkan ekonomi wanita dan hak kesamarataan untuk wanita.

Katanya keganasan atau kekerasan terhadap wanita  bukan sekadar jenayah tetapi juga mempunyai implikasi yang berpanjangan termasuk terhadap kesihatan fizikal, mental dan seksual.

Beliau membentangkan laporan itu pada satu sidang media di sini semalam hasil kaji selidik yang dilakukan WHO sekitar tahun 2018 hingga 2019 membabitkan sejumlah besar wanita di seluruh dunia.

Laporan tersebut turut menyebut, satu per empat wanita muda yang menjalin hubungan didapati pernah mengalami keganasan oleh pasangan mereka sebelum mencecah usia 20-an.

Ia juga mendapati peningkatan keganasan domestik terhadap wanita susulan perintah sekatan di kebanyakan negara.

Laporan tersebut mengandungi data daripada 158 negara mengenai keganasan fizikal atau seksual dialami wanita dan perempuan berusia 15 tahun ke atas.

“Hasil kaji selidik ini memberi gambaran yang membimbangkan. Dianggarkan 736 juta wanita, hampir satu per tiga wanita di seluruh dunia pernah menghadapi keganasan daripada pasangan, bukan pasangan atau kedua-duanya sekali seumur hidup,” katanya.

Related posts

Leave a Comment