Lima lagi kluster baharu

PUTRAJAYA 10 Mac – Jumlah kluster meningkat kepada 1,217 berikutan lima lagi kluster dilaporkan hari ini yang melibatkan dua kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster berkaitan komuniti, dan satu kluster import.

Bagaimanapun, 768 kluster telah tamat termasuk 13 kluster hari ini dan ini menjadikan 449 kluster masih aktif.

Kluster yang tamat hari ini adalah Kluster Dialisis Batu, Kluster Intan Mas, Kluster Kupang, Kluster Tapak Bina Jalan Nipah, Kluster Sri Gading, Kluster Jalan Ithnin,  Kluster Padas Damit, Kluster Kampung Samin, Kluster Seri Bayu, Kluster Industri Grisek, Kluster Jalan Suasa, Kluster Kampung Lukut,  dan Kluster Jalan Satu KKIP.

Sementara itu sebanyak 59 kluster menambah kes termasuk Kluster Tapak Bina Jalan Zamrud (151 Kes), Kluster Parit Penyengat Darat (123 kes), dan Kluster Jalan Changkat Jong (49 kes).

Lima kluster baharu yang dikenal pasti pada hari ini adalah :

  • KLUSTER SUNGAI PUTEH

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-312147) dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti kediaman kes indeks iaitu di Kampung Bukit Puteh, Sungai Puteh, Lembah Jaya Utara, Hulu Langat. Sehingga 10 Mac , sejumlah 65 individu disaring, di mana 21 kes dikesan positif.

  • KLUSTER DAGANG PERMAI

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 1 Mac 2021 hasil saringan bersasar pengawal-pengawal keselamatan dan pekerja-pekerja sebuah pasar raya yang terletak di Taman Dagang Permai, Ampang, Hulu Langat. Sehingga 10 Mac, sejumlah 135 individu telah disaring, di mana 16 kes dikesan positif.

  • KLUSTER PARIT PENYENGAT DARAT

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Muar di Johor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 6 Mac 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Parit Jamil, Muar. Nama kluster merujuk kepada lokaliti asrama pekerja-pekerja kilang tersebut yang terletak di Parit Penyengat Darat, Muar. Sehingga 10 Mac, sejumlah 317 individu telah disaring, di mana 124 kes dikesan positif.

  • KLUSTER PONA

Kluster import ini melibatkan daerah Johor Bahru di Johor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 10 Mac 2021 hasil saringan sebelum ke luar negara. Kluster ini melibatkan krew-krew sebuah kapal kargo yang berlabuh di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Bahru pada 6 Mac 2021. Kapal kargo ini mempunyai sejarah perjalanan dari Surabaya, Indonesia.  Sehingga 10 Mac, sejumlah 25 individu disaring, di mana lapan kes dikesan positif.

  • KLUSTER MELOR

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Pusa di Sarawak. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-298181) dilaporkan positif Covid-19 pada 27 Februari 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti penularan kes-kes yang dilaporkan berlaku iaitu di Lorong Melor, Kampung Tengah Beladin, Pusa. Sehingga 10 Mac, sejumlah 335 individu disaring, di mana 14 kes dikesan positif.

Related posts

Leave a Comment