Agensi kerajaan ‘senjata politik’?

KUALA LUMPUR 5 Mac – Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) mengecam penyalahgunaan agensi-agensi kerajaan yang didakwa sebagai senjata politik bagi mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan media, MPPH mendakwa terdapat siri tindakan daripada agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain memberi tekanan terhadap Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, pegawai-pegawai malah ahli keluarga mereka.

Pada waktu ini, kami difahamkan tindakan-tindakan masih terus dilakukan bersekali dengan tekanan untuk Ahli-Ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Dari segi prinsip, kami menyokong sebarang tindakan yang berlandaskan hukum dan undang-undang. Tetapi sebarang penyalahgunaan institusi atau agensi dengan niat untuk mengganggu, menekan atau menakut-nakutkan musuh politik langsung tidak boleh diterima,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng lewat petang ini.

Menurut  MPPH, tindakan seumpama itu dipercayai telah dilakukan terhadap ramai Ahli Parlimen Pembangkang termasuk Lim Guan Eng dan isteri, Larry Sng, Steven Choong, dan kini secara tidak langsung terhadap Dr Xavier Jayakumar.

“Pakatan Harapan mengecam sekeras-kerasnya penggunaan SPRM, LHDN, PDRM dan agensi-agensi lain sebagai ‘senjata politik’, terutama bagi tujuan menambah sokongan kerajaan minoriti Perikatan Nasional ini.

“Pertandingan politik di Malaysia wajib berlaku dalam suasana yang sihat, dengan amalan demokrasi yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan.

“Pakatan Harapan juga kesal dengan tindakan pihak berkuasa ke atas perniagaan dengan pelbagai tuntutan kewangan yang tidak munasabah serta juga pembekuan akaun bank untuk menambahkan pendapatan kerajaan yang kian berkurangan,” jelas kenyataan itu lagi.

Justeru, tindakan memeras perniagaan dalam keadaan kemelesetan ekonomi juga harus ditangguh kerana ia akan menyukarkan survival perniagaan dan menjejaskan pekerjaan.

Related posts

Leave a Comment