KUALA LUMPUR 2 Jun – Mengambil kira laporan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Malaysia dijangka tidak berhadapan krisis bekalan air seperti pada 1998 walaupun negara diramal mengalami fenomena El-Nino pada Jun hingga September ini.
Pengarah Bahagian Operasi Wilayah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Azrul Raimee Ramli, berkata, ia juga berdasarkan situasi fenomena pemanasan global pada masa kini.
Katanya, pemantauan SPAN berhubung status semasa bagi 43 empangan air di seluruh negara setakat ini mendapati hampir keseluruhan empangan berada pada paras melebihi 90 peratus.
“Hanya tujuh empangan sedang dipantau berikutan berlaku penurunan paras air hampir 50 peratus, namun ia tidak melebihi paras amaran,” katanya mengulas krisis bekalan air negara ketika musim panas pada program Ruang Bicara terbitan BERNAMATV, semalam.
Tujuh empangan berkenaan ialah Empangan Timah-Tasoh, Perlis; Empangan Air Itam dan Teluk Bahang, Pulau Pinang; Empangan Sungai Muda, Empangan Maulud, Kedah; Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Sembrong, Johor.
Bagi memastikan bekalan air baik dan teratur, SPAN sentiasa melaksanakan pemantauan empangan utama di Semenanjung dan menyediakan pelan kesiapsiagaan membabitkan kerjasama pelbagai pihak dan operator air.
Azrul berkata, jika berlaku krisis bekalan air seperti pada 1998, kerajaan boleh melaksanakan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) bagi mengehadkan kadar penggunaan untuk kegunaan penting demi kelangsungan bekalan air.
Selain itu, SPAN akan melihat keperluan untuk melaksanakan catuan bekalan air ataupun bekalan air berjadual.
