Giliran Sabah lancar vaksinasi

KOTA KINABALU 4 Mac – Hari ini giliran Sabah pula melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri apabila Ketua Menteri Hajiji Noor menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech.

Hajiji tiba di Dewan Serbaguna, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah di sini kira-kira pukul 10 pagi dan menerima suntikan selepas mendaftar diri dan ditemu bual petugas kesihatan bagi mengetahui tahap kesihatannya. 

Turut diberi vaksin hari ini ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmy Yahya, Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali dan Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi. 

Pada majlis itu, seramai 60 penerima vaksin turut diberikan suntikan sebagai simbolik pelancaran program berkenaan. 

Sabah menerima sebanyak 16,380 dos kumpulan pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech bagi program imunisasi berkenaan, yang akan diedarkan ke seluruh negeri bagi proses vaksinasi petugas barisan hadapan dan rakyat. 

Related posts

Leave a Comment