Thailand catat 42 kes, 1 kematian

BANGKOK 2 Mac – Thailand merekodkan satu kematian hari ini dengan 42 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif 84 kematian dan 26,073 kes.

Daripada 42 kes, sebanyak 35 adalah laporan dari hospital, empat dikesan ketika pengesanan aktif dan tiga lagi semasa ketibaan dari luar negara.

Kes kematian pula melibatkan seorang warga Thai berusia 92 tahun di wilayah Pathum Thani. Dia menghidap diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.

Pada 11 Februari lelaki itu membeli barang darupada seorang vendor wanita yang sudah dijangkiti di pasar Pornpat dalam daerah Thanyaburi.

Dia kemudian mengalami demam, batuk dan kelelahan sebelum dimasukkan ke hospital dan memerlukan alat bantuan pernafasan sebelum meninggal Ahad lalu.

Sementara itu, Samut Sakhon merekodkan 24 kes melibatkan 12 warga Thai dan 12  Myanmar; Pathum Thani lapan kes  (6 Thais, satu Myanmar dan satu Kemboja); Tak empat kes iaitu tiga Myanmar dan satu Thai manakala Bangkok, Nonthaburi dan Nakhon Pathom masing-masing satu kes.

Tiga kes import pula adalah mereka yang dikuarantin selepas ketibaan dari Emiriyah Arab Bersatu, Serbia dan Jerman.

Daripada 26,073 kes, sebanyak 25,420 (97.50%) dilaporkan sembuh termasuk 96 yang pulih hari ini manakala 596 lagi masih menerima rawatan.

Related posts

Leave a Comment