MP Putatan nafi keluar PKR

FAKE NEWS…Itu catatan ringkas Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari di Facebooknya beserta keratan berita mengenai kononnya beliau juga akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau dikatakan akan mengikut jejak Ahli Parlimen PKR, Larry Sng dari Julau, Sarawak dan Stephen Choong dari Tebrau, Johor, yang keluar parti pada Ahad lepas dan menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Tanpa banyak mengulas, itu sahaja ayat bagi memberi gambaran bahawa laporan itu tidak benar.

Bagaimanapun Bernama melaporkan beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menyifatkannya tidak berasas dan hanya bertujuan memburuk-burukkan nama baiknya.

“Saya tidak tahu dari mana mereka dapat maklumat itu…namun saya berterima kasih kerana mereka buat saya ‘popular’,” katanya kepada Bernama.

Beliau meminta semua ahli PKR Sabah khususnya di kawasan Putatan tidak mempercayai tuduhan berkenaan yang menurutnya hanya bertujuan mahu memecah-belahkan parti berkenaan.

“Saya nasihatkan agar jangan sesekali mendengar atau percaya apa yang ditulis dalam laman web kerana itu hanya tuduhan semata-mata,” tegasnya.

Related posts

Leave a Comment