TH umum agihan keuntungan 3.10%

KUALA LUMPUR 2 Mac – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan  sebanyak 3.10% selepas zakat, kepada kira-kira sembilan juta pendepositnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, berbanding 3.05 % tahun 2019.

Agihan keuntungan bagi tahun 2020 itu melibatkan jumlah sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, keadaan itu lebih baik walaupun persekitaran ekonomi negara dan dunia  tidak menentu sejak penghujung tahun 2019 akibat pandemik Covid-19

“Alhamdulillah, pendeposit TH dapat menikmati keuntungan yang lebih baik bagi tahun 2020 walaupun berdepan ekonomi yang kurang baik tahun lepas.

“Sebagai institusi yang memegang amanah mengurus hampir RM77 bilion deposit umat Islam Malaysia, TH akan terus memastikan dana ini dilaburkan dengan selamat agar kekal mampan,” tambahnya.

Zulkifli berkata, jumlah deposit di TH mencecah RM76.7 bilion pada 26 Februari 2021.

Ia merupakan paras tertinggi dalam sejarah, sekali gus mencerminkan keyakinan pendeposit terhadap TH terus kekal utuh.

Pada masa sama, TH turut melunaskan pembayaran zakat sebanyak RM106.2 juta bagi tahun 2020 berbanding RM86 juta pada 2019.

Urusniaga TH akan ditangguhkan sementara bermula pukul 8 malam ini hingga pukul 12 tengah hari esok (3 Mac) bagi melancarkan urusan agihan keuntungan.

Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing selepas pukul 12 tengah hari esok.

Ia boleh dilakukan menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat serta saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB.

Related posts

Leave a Comment