1,097 terima dos pertama di Melaka

AYER KEROH 2 Mac – Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali, menjadi individu pertama di negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri Melaka, di Dewan Seri Negeri di sini, hari ini.

Beliau adalah antara 1,097 individu, termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Ab Rauf Yusoh dan petugas barisan hadapan yang menerima suntikan dos pertama vaksin itu.

Daripada jumlah itu,  sebanyak 1,037 melibatkan petugas barisan hadapan kesihatan dan beberapa agensi lain manakala hanya 60 penerima membabitkan petugas kerajaan negeri termasuk barisan Exco dan wakil rakyat.

Katanya, di peringkat kerajaan negeri, hanya 60 orang termasuk Exco akan menerima suntikan hari ini.

“Kerajaan negeri hanya hantar cadangan nama siapa yang perlu dan layak untuk terima suntikan, dan keputusan itu dibuat oleh JKN negeri dan juga Kementerian Kesihatan, bukan kerajaan negeri yang tentukan,” tegasnya.

Di Melaka, seramai 12,870 orang petugas barisan hadapan dijadual menerima suntikan pada fasa pertama, manakala fasa 2 dijadualkan pada bulan April hingga Ogos, akan membabitkan 250,000 orang dalam kumpulan warga emas berumur 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga yang dijadualkan pada September 2021 hingga Februari 2022, disasarkan untuk penduduk di Melaka yang berumur 18 tahun ke atas iaitu warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 400,000 orang.

Sebanyak 23 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Negeri Melaka iaitu membabitkan 19 fasiliti kesihatan manakala empat melibatkan fasiliti kerajaan iaitu di Dewan Seri Negeri, Ayer keroh, Dewan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Dewan Kementerian Dalam Negeri, serta Dewan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka.

Related posts

Leave a Comment