Edar vaksin secara adil lawan virus

GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Grebeyesus kesal apabila orang muda dan dewasa yang sihat di negara kaya mendapat suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, kumpulan berkenaan didahulukan daripada pekerja kesihatan barisan hadapan di negara membangun.

Lebih mendukacitakan negara membangun dan berpendapatan rendah seperti Ghana dan Ivory Coast hanya mendapat vaksin Covax mereka tiga bulan selepas negara kaya seperti UK, Amerika Syarikat dan Kanada menerima vaksin mereka.

“Kami teruja melihat pekerja kesihatan dalam negara pendapatan rendah menerima vaksin. Namun kami kesal yang ia diberikan tiga bulan selepas beberapa negara kaya memulakan kempen imunisasi mereka.

“Ia mendukacitakan apabila ada negara kaya yang terus memberikan vaksin kepada orang muda dan dewasa yang sihat dan berisiko rendah dalam populasi mereka, mendahului pekerja kesihatan dan warga emas di negara lain.

“Negara ini harus sedar yang mereka bukan bersaing dengan negara lain; mereka sedang melawan Covid-19,” katanya dalam taklimat media di Geneva, 1 Mac.

Katanya, WHO tidak meminta semua negara membahayakan rakyat mereka sendiri

sebaliknya meminta semua negara untuk menjadi sebahagian daripada usaha global untuk melawan virus di mana sahaja.

“WHO dan rakan kongsi kami di Covax akan terus berusaha siang dan malam untuk mencapai visi kami untuk melihat vaksinasi bermula di setiap negara dalam 100 hari pertama tahun ini. Kini tinggal 40 hari lagi.

“Kami hanya dapat merealisasikan visi ini dengan sokongan dan kerjasama semua rakan kongsi,” katanya.

Hari ini, Ghana dan Ivory Coast mula memvaksinasi pekerja kesihatan, menjadi negara pertama yang memulakan kempen vaksinasi dengan dos yang diberikan melalui Covax.

Lima hari lalu, Ghana menerima 600,000 dos vaksin.

Sebanyak 11 juta dos lagi akan dihantar minggu ini dan dalam tempoh sekarang hingga akhir Mei, sebanyak 237 juta dos vaksin akan diperuntukkan kepada 142 negara dan negara peserta Covax.

Sebanyak 184 negara dan ekonomi bergabung di bawah Covax, sebuah inisiatif antarabangsa dipimpin WHO dan rakan-rakannya untuk memastikan akses vaksin Covid-19 yang adil dan berkesan di seluruh dunia.

Dr Tedros turut melaporkan untuk kali pertama dalam tujuh minggu, kes baharu COVID-19 meningkat di empat daripada enam rantau, termasuk di Amerika, Eropah, Asia Tenggara dan Timur Mediteranean.

Kawasan yang tidak mencatat peningkatan adalah Afrika dan barat Pasifik.

Dr Tedros menjelaskan WHO akan meneliti punca peningkatan ini namun percaya ia berkaitan dengan langkah mengawal Covid-19 yang dikurangkan.

Related posts

Leave a Comment