Liputan komunikasi 100 peratus

KUALA LUMPUR 23 Jun – Pelancaran satelit MEASAT-3d berupaya membolehkan negara mencapai liputan komunikasi 100 peratus menjelang 2025, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia,  Annuar Musa,

Beliau berkata capaian liputan itu berdasarkan pengoperasian penuh satelit terbabit dalam tempoh terdekat.

Katanya menerusi satelit ini, kualiti perkhidmatan jalur lebar dapat dipertingkatkan, menjadikan perkhidmatannya berkelajuan tinggi seperti mana kita gunakan melalui rangkaian gentian optik yang sedang dilaksanakan di kawasan yang maju.

“Jadi, beberapa bulan lagi kita sudah boleh guna perkhidmatan ini dan dalam masa tiga tahun, kita boleh capai liputan 100 peratus,” katanya ketika ditemui di WTCKL ketika menyaksikan pelancaran satelit MEASAT-3d yang dipancarkan secara langsung dari European Spaceport di Kourou, French Guiana.

Annuar berkata, pelancaran MEASAT-3d adalah satu perkembangan baik kepada negara kerana ia penting dalam menjayakan sepenuhnya Pelan Digital Negara.

Katanya, ia juga secara tidak langsung melengkapkan program di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Walaupun kita mempunyai jangkaan liputan yang boleh mencapai 97 peratus di bawah JENDELA 1 yang menghubungkan kawasan berpenduduk dengan menggunakan kaedah gentian optik, namun terdapat tiga peratus lagi membabitkan kawasan pedalaman yang tidak dapat kita sambungkan menggunakan jaringan gentian optik.

“Kawasan ini sudah tentu perlu menggunakan teknologi satelit. Lagipun memang kita sudah menggunakan teknologi satelit tetapi lazimnya ia memberikan perkhidmatan jalur lebar kapasiti yang rendah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment