Dipecat selepas kecam junta tentera

SELEPAS mengkritik hebat junta tentera yang merampas kuasa, Duta Myanmar ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Kyaw Moe Tun dipecat berikutan kelantangannya bersuara di badan dunia itu pada Sabtu, 26 Februari 2021.

Menurut stesen televisyen negara itu,  MRTV,  duta itu berucap bukan mewakili Myanmar di pertubuhan itu.

Moe Tun didakwa telah menyalahgunakan kuasa serta tanggungjawabnya sebagai seorang duta besar di badan dunia itu. Beliau telah mengkhianati negara dan dilucutkan jawatannya oleh junta tentera.

Dalam ucapan penuh emosi, duta itu berkata, tiada pihak yang harus bekerjasama dengan kerajaan junta sehingga kuasa dikembalikan kepada pemerintah yang dipilih secara demokratik.

Beliau secara terbuka membantah rampasan kuasa yang berlaku dan memohon komuniti antarabangsa bertindak untuk mengembalikan semula demokrasi di Myanmar.

Semua negara digesa mengeluarkan kenyataan terbuka, mengecam rampasan kuasa, dan tidak mengiktiraf junta yang memerintah ketika ini.

“Kami akan terus menentang kerajaan junta untuk semua rakyat Myanmar. Rampasan kuasa ini tidak boleh diterima dalam era dunia moden dan mesti digagalkan. Rakyat Myanmar teguh dan bersatu untuk menentang rampasan kuasa tentera,” tegasnya.

Kenyataan ini dianggap mengejutkan dan berani, serta mendapat tepukan gemuruh oleh sebahagian besar diplomat.

Junta tentera merampas kuasa pada 1 Februari lalu, selepas menahan barisan pemimpin kerajaan, termasuk Aung San Suu Kyi.

Related posts

Leave a Comment