Covid-19 : AS berdukacita, bertafakur

LEWAT Isnin, Amerika Syarikat (AS) bertafakur memperingati lebih 500,000 penduduk negara itu yang meninggal dunia akibat pandemik Covid-19.

Presiden Joe Biden dan Naib Presiden Kamala Harris mengetuai upacara itu di White House sejurus  Biden menyampaikan ucapan kepada rakyat negara itu.

Sebelum itu Speaker Dewan Perwakilan Nancy Pelosi mengetuai majlis yang sama bagi memperingati korban pandemik itu.

Dalam ucapannya Biden mengajak seluruh penduduk negara itu untuk memperingati mereka yang terkorban dan terus  berusaha memerangi wabak Covid-19 itu.

Biden berkata, hari ini AS mencatatkan angka menyedihkan apabila 500,071 orang meninggal dunia akibat Covid-19.

Katanya jumlah itu melebihi kematian gabungan tiga peperangan melibatkan AS iaitu Perang Dunia Pertama dan Kedua serta Perang Vietnam.

Katanya angka itu amat menyedihkan dan mengajak rakyat AS untuk memperingati  kematian itu serta mereka yang ditinggalkan untuk terus melawan wabak ini.

Biden sedar tekanan, trauma serta kesedihan yang sedang dilalui rakyat AS tetapi meminta mereka supaya tidak berputus asa untuk bangkit kembali.

“Kita tidak pernah berputus asa. Kita adalah Amerika. Kita boleh dan akan melakukan ini,” katanya yang mahu rakyat terus waspada dengan mengelakkan majlis sosial serta memakai pelitup muka dan mendapatkan vaksin apabila tiba giliran.

Katanya, sengketa politik yang memecahbelahkan keluarga, masyarakat, dan negara perlu dihentikan.

“Bukan Demokrat dan Republikan yang mati akibat virus itu:” katanya sebaliknya rakyat Amerika sama ada jiran dan rakan – ibu, ayah, anak lelaki, anak perempuan, suami, isteri.

Justeru beliau  mengajak rakyat AS untuk sama-sama bersatu memerangi wabak itu kerana itulah satu-satunya cara mengalahkan virus.

Jurucakap Rumah Putih Jen Psaki sebelum ini memberitahu para wartawan, Presiden Biden juga mengarahkan bendera AS di semua bangunan persekutuan dikibarkan separuh tiang selama lima hari

Katedral Nasional di Washington juga akan membunyikan locengnya sebanyak 500 kali pada petang Isnin untuk memperingati mereka yang gugur akibat jangkitan Covid-19 itu.

AS melepasi paras 500,000 kematian akibat Covid-19, setahun lebih setelah pandemik koronavirus itu meragut nyawa mangsa pertama yang dijangkiti virus itu.

Dengan jumlah kematian itu, ia bermakna satu daripada setiap 673 penduduk AS tewas kepada jangkitan pandemik tersebut.

“Perangkaan ini sangat mengejutkan,” kata Dr Anthony Fauci, penasihat utama penyakit berjangkit kepada Presiden Biden semasa mendedahkan perangkaan tersebut dalam rancangan Good Morning America terbitan ABC News.

“Sekiranya anda menyingkap kembali, kita berada dalam kedudukan lebih buruk berbanding banyak negara lain, padahal kita adalah sebuah negara yang mewah dan maju,” kata Fauci

Prestasi buruk negara itu turut mencerminkan tindak balas yang lemah pada tahun lalu, di mana pentadbiran bekas presiden Donald Trump secara amnya menyerahkan tugas menangani krisis kesihatan awam terbesar dalam tempoh 100 tahun itu kepada wilayah masing-masing.

Related posts

Leave a Comment