Belum cadang vaksinasi ibu mengandung

PUTRAJAYA 23 Feb. – Ibu mengandung tidak digalakkan untuk menerima vaksin Covid-19 kerana data berhubung faktor keberkesanan dan keselamatan daripada pengeluar belum diperoleh, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

“Kita masih menetapkan lagi ibu mengandung tak diberi vaksinasi, masih terus terpakai kerana kajian Pfizer (baru lagi dilaksanakan) dan kita belum lagi dapat maklumat daripada mereka,” katanya lagi.

Katanya, Kementerian akan terus mengguna pakai garis panduan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 yang beliau dan Menteri Penyelaras Khairy Jamaluddin pengerusikan bersama, selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Khairy selepas menghadiri program Simulasi Pemberian Vaksin COVID-19, di Putrajaya hari ini.

Pada 19 Februari lepas, media antarabangsa memetik pengumuman Pfizer bahawa mereka akan melaksanakan ujian klinikal vaksin kepada 4,000 ibu mengandung berusia antara 18 hingga 40 tahun, dan mempunyai usia kandungan antara 24 hingga 34 minggu.

Menurut kenyataan itu, sebahagian sukarelawan terbabit akan menerima dua dos vaksin Pfizer, dan sebahagian lagi akan menerima ‘dummy shots’.

Mengulas mengenai skim pampasan bagi mereka yang mengalami alahan, Dr Adham, berkata, skim yang disebut sebagai Skim Mudarat Vaksinasi sedang dalam penelitian di peringkat jemaah menteri.

“Kita akan umumkan apabila sudah ada keputusan akhir mengenai jenis pampasan ini,” katanya lagi.

Sementara itu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut meninjau kesiapsiagaan Institut Kanser Negara (IKN) di sini menjelang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama yang akan bermula Rabu ini.

IKN adalah satu daripada 54 Pusat Simpanan Vaksin (PSV) yang terdapat di negara ini dan berperanan membekalkan vaksin secara berjadual kepada empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Putrajaya yang sudah dikenal pasti.

Muhyiddin mendengar sesi taklimat tertutup oleh Pengarah IKN Dr Mohd Anis Haron @ Harun sebelum dibawa meninjau Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di IKN.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, secara keseluruhannya terdapat 54 lokasi PSV dan 605 lokasi PPV di seluruh negara.

Kenyataan itu berkata, vaksin yang diterima IKN adalah untuk kegunaan dalam fasa pertama pelaksanaan program imunisasi itu yang membabitkan seramai 7,020 orang termasuklah anggota kesihatan dan bukan kesihatan.

Related posts

Leave a Comment