Sekolah bersemuka 1 Mac

PUTRAJAYA 19 Feb. – Sesi persekolahan secara bersemuka yang ditangguhkan sebelum ini susulan peningkatan kes Covid-19 akan bermula pada 1 Mac ini melibatkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata untuk Tahun Tiga hingga Enam sesi akan bermula pada 8 Mac. 

Pelajar sekolah menengah di negeri Kumpulan A akan hadir ke sekolah pada 4 April manakala pelajar sekolah menengah di negeri Kumpulan B pada 5 April, iaitu selepas tamat sesi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Beliau berkata keputusan membenarkan pelajar sekolah rendah untuk mengikuti sesi persekolahan lebih awal adalah bagi memberi ruang kepada murid dan guru menyesuaikan diri dengan suasana norma baharu dan juga prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Kumpulan A membabitkan sekolah di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu manakala Kumpulan B melibatkan sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Bercakap pada sidang media hari ini, beliau berkata takwim persekolahan adalah kekal seperti yang dikeluarkan sebelum ini.

“Tarikh pembukaan sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran mengikut tarikh pembukaan sekolah yang ditetapkan dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata kolej vokasional pula akan dibuka pada 1 Mac manakala sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan swasta kategori pusat termasuk pusat tuisyen akan dibuka pada 8 Mac.

Radzi dalam pada itu berkata sebarang perancangan KPM dibuat dengan teliti dan pendekatan diambil berdasarkan input serta maklum balas daripada semua pihak.

Sementara itu, ditanya mengenai penyelarasan DidikTV apabila sesi persekolahan bermula, Radzi berkata pengisian program bagi pelajar sekolah menengah akan diperbanyak memandangkan pelajar sekolah rendah akan memulakan persekolahan terlebih dahulu.

Related posts

Leave a Comment