
KUALA LUMPUR 29 April – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyelesaikan keseluruhan hutang pinjaman penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua bas di kampus itu bulan lalu.
PTPTN dalam kenyataan, memaklumkan Allahyarham mendapat penyelesaian pinjaman berjumlah RM12,629.82 bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda itu melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN.
“PTPTN dengan penuh rasa simpati melalui Program Ziarah PTPTN Prihatin telah menziarahi waris kepada mangsa tragedi nahas ini, yang berlaku di hadapan perhentian bas dekat Jalan Persiaran Perdana, UUM.
“Sesi ziarah dan penyerahan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) diadakan di kediaman waris Allahyarham di Felda Chemplak, Labis, Johor yang disempurnakan Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN Zawiah Wan Abu Bakar, yang mewakili Pengerusi dan Pengurusan PTPTN,” menurut kenyataan itu.
Turut hadir Pengurus Cawangan Pejabat PTPTN Negeri Johor Rafidah Sidek.
PTPTN juga, memaklumkan waris juga akan menerima khairat kematian berjumlah RM1,500 serta sumbangan CSR berupa wang tunai sebanyak RM2,000 serta kotak makanan.
“PTPTN menyampaikan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham. Semoga manfaat yang diterima melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN, dapat memberikan sedikit kelegaan dan sokongan kepada waris Allahyarham dalam waktu yang sukar ini,” menurut kenyataan itu.
Perlindungan takaful berkelompok, bertujuan melindungi jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan PTPTN kepada peminjam untuk tempoh 24 jam sehari dan meliputi seluruh dunia, sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh.
Bagi mana-mana peminjam yang meninggal dunia atau mengalami keilatan, waris atau penuntut perlu membuat tuntutan dengan melengkapkan Borang Permohonan Tuntutan Takaful yang boleh diperolehi melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my.
Borang Permohonan Tuntutan Takaful berserta dokumen sokongan yang diperlukan hendaklah dikemukakan ke Pejabat PTPTN Negeri atau cawangan yang berhampiran atau diposkan ke Ibu Pejabat PTPTN, Menara PTPTN, Kuala Lumpur.
