WTO usaha lawan Covid-19

KETUA Pengarah Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) yang baharu, Ngozi Okonjo-Iweala berkata, tugas utamanya adalah untuk memastikan pertubuhan itu meningkatkan usaha melawan Covid-19.

Katanya, ini termasuk menamatkan sekatan eksport yang ada untuk ubatan dan bekalan kesihatan lain.

Beliau berkata, kajian menunjukkan, pengeluaran dunia boleh mengalami kerugian 9 trilion dollar jika negara berpendapatan rendah gagal memulakan program vaksinasi dengan pantas.

Daripada jumlah berkenaan, separuh kerugian akan terjadi di negara kaya.

Beliau bercakap pada sidang media atas talian selepas dilantik ke jawatan itu.

Bekas pengarah urusan Bank Dunia itu dilantik sebagai Ketua Pengarah WTO yang baharu pada Isnin dan akan memulakan tugas pada 1 Mac ini.

Okonjo-Iweala adalah wanita pertama dan individu pertama dari benua Afrika yang memegang jawatan berkenaan.

Katanya, antara tugasan utama WTO adalah untuk memastikan vaksin, rawatan dan alat diagnosis boleh diakses secara adil oleh semua negara termasuk negara pendapatan rendah.

Dalam masa yang sama, bekas Menteri Kewangan Nigeria itu menegaskan, nasionalisme vaksin akan menghapuskan pertumbuhan ekonomi untuk semua negara kaya dan berpendapatan rendah.

Katanya, nasionalisme vaksin akan memperlahankan usaha menamatkan pandemik Covid-19.

Beliau juga menyatakan reformasi badan rayuan WTO seperti yang dicadangkan Presiden Amerika, Joe Biden akan mengambil sedikit masa.

Related posts

Leave a Comment