WHO luluskan vaksin AstraZeneca

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan penggunaan kecemasan terhadap vaksin Oxford AstraZeneca untuk edaran seluruh dunia, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau berkata, keputusan tersebut sekali gus membolehkan bekalan vaksin itu dihantar kepada rakan-rakan negara yang menyertai inisiatif COVAX dalam usaha menghentikan pandemik Covid-19.

“Hari ini kita mendapat perkhabaran gembira dalam usaha untuk mengawal pandemik ini. Hari ini WHO memberikan kelulusan kecemasan kepada dua versi vaksin Oxford AstraZeneca dan memberikan lampu hijau untuk diedarkan ke seluruh dunia melalui program COVAX,” katanya.

Salah satu vaksin dikeluarkan oleh SKBio di Korea manakala satu lagi oleh Serum Institute, India.

Dalam taklimat media di Geneva pada Isnin, 15 Februari (waktu Geneva), beliau turut memaklumkan  jumlah jangkitan Covid-19 seluruh dunia kini menurun buat lima minggu berturut-turut malahan jumlah jangkitan baharu ketika ini adalah paling rendah sejak Oktober tahun lalu.

“Minggu lepas, jumlah jangkitan adalah paling rendah sejak Oktober lalu. Setakat tahun ini, jumlah jangkitan mingguan menurun kepada lebih setengah beranding lebih lima juta kes pada 4 Januari kepada 2.6 juta kes, pada permulaan minggu 8 Februari, dalam tempoh hanya lima minggu.

“Ini menunjukkan bahawa langkah-langkah kesihatan awam berkesan walaupun terdapat varian baharu,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan usaha memerangi wabak ini tidak boleh terhenti kerana ancaman masih wujud.

Related posts

Leave a Comment