Vaksin tiba di Malaysia 21 Februari

PUTRAJAYA 16 Feb. – Bekalan vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer-BioNTech akan tiba di Malaysia pada 21 Februari ini, kata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Katanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pula akan bermula 26 Februari.

dan beliau sendiri akan menerima suntikan pada hari tersebut bersama-sama petugas barisan hadapan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara maya di Pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Katanya, seperti yang telah diumumkan, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengandungi tiga fasa.

Fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan, bermula pada 26 Februari sehingga April 2021.

Fasa kedua pula akan bermula pada bulan April sehingga Ogos 2021 dan akan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi, manakala Fasa Ketiga melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula dari bulan Mei 2021 sehingga Febuari 2022.

Jelas Perdana Menteri, program imunisasi menyeluruh dilaksanakan untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diterbitkan untuk menerangkan dengan lebih lanjut berhubung dasar program imunisasi.

Katanya, dokumen yang diterbitkan bukan sahaja menjadi rujukan kepada para pembuat dasar dan pelaksana, malah juga untuk rujukan masyarakat.

Related posts

Leave a Comment