16 import, 2 tempatan di Singapura

SINGAPURA 12 Feb. – Sebanyak 16 kes import dan dua kes jangkitan tempatan Covid-19 dilaporkan di Singapura hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 59,777 dengan jumlah kematian kekal 29.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH) tiada kes di asrama pekerja asing dilaporkan dan kesemua 16 kes baharu import diberi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).

Kedua-dua kes jangkitan tempatan (dalam masyarakat) melibatkan isteri dan anak pemilik gerai di Chinatown Complex. Pemilik gerai berusia 66 tahun dan seorang lagi anak lelakinya, 32 tahun, dilaporkan sebagai kes Covid-19 pada Khamis.

Empat beranak itu membentuk kelompok baru terkait dengan pegerai dikenali sebagai kes 60138.

Bagi kes import pula, tiga daripadanya adalah penduduk tetap yang pulang dari India dan Indonesia, satu kes adalah pemegang pas tanggungan yang tiba dari Emiriyah Arab Bersatu dan satu kes melibatkan pemegang pas lawatan jangka panjang yang tiba dari Indonesia pada 26 November lalu.

Baki tujuh kes import melibatkan pemegang permit kerja yang tiba dari India, Indonesia dan Myanmar – enam daripadanya adalah pembantu rumah asing.

Sementara itu sebanyak 11 kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat menjadikan jumlah keseluruhan kes yang sudah pulih di Singapura sebanyak 59,569 orang.

Setakat ini, sebanyak 31 kes masih dirawat yang kebanyakan stabil atau semakin pulih dan seorang daripada mereka dirawat di unit jagaan rapi (ICU).

Related posts

Leave a Comment