ADEN – Serangan pejuang Houthi Yaman ke atas Arab Saudi ditingkatkan, terbaharu ke atas saluran paip minyak Arab Saudi serta beberapa kapal di teluk pada Ahad turut menggugat keamanan di Asia Barat.
Malahan pejuang yang menyokong Iran itu mengancam untuk memburukkan lagi gangguan bekalan tenaga global.
Pertahanan Awam Arab Saudi bagaimanapun mengumumkan keadaan selamat selepas mengeluarkan amaran kemungkinan bahaya di bandar Najran, Khamis Mushait, Jazan dan Abha di selatan negara itu.
Houthi, yang menguasai kawasan paling ramai penduduk di Yaman serta sebahagian besar wilayah utara negara itu, menyerang Arab Saudi sejak mengisytiharkan sekatan laut terhadap Riyadh pada Julai lalu, dengan serangan menyasarkan kapal Arab Saudi di Laut Merah.
Susulan perkembangan hujung minggu yang menjejaskan bekalan pengeksport terbesar dunia itu, pedagang minyak menjangkakan harga akan meningkat selepas pasaran dibuka semula pada Isnin.
