Memancing, golf dibenarkan

KUALA LUMPUR 11 Feb. – Premis perniagaan berkaitan aktiviti memancing seperti kolam pancing, pelantar pancing, rumah rakit dan bot memancing dibenarkan beroperasi semula mulai esok dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan juga setuju membenarkan institut latihan memandu dan pusat latihan penerbangan beroperasi semula, selain gimnasium, dewan badminton dan padang golf.

Beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan turut mengemukakan permohonan untuk aktiviti sukan lain yang bersifat individu dan tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan diri, penjagaan kesihatan individu, peningkatan kemahiran kendiri serta kelangsungan industri sukan negara.

“Setelah penilaian risiko dibuat, kerajaan setuju membenarkan aktiviti joging dan brisk walking, berbasikal dan senaman yang terhad kepada dua orang dan dilakukan dalam kawasan kejiranan sahaja, tenis, badminton dan ping pong yang melibatkan acara perseorangan sahaja, permotoran (dua roda dan empat roda).

“Selain itu, aktiviti lain dibenarkan ialah aktiviti sukan seperti bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw boleh dilakukan secara latihan kemahiran kendiri (tanpa aktiviti bersentuhan),” katanya.

Mengenai fasiliti sukan dan rekreasi seperti gelanggang tenis dan badminton, gimnasium dan pusat litar permotoran, beliau berkata penggunaannya perlu dilakukan secara penjadualan dan tempahan sahaja manakala ‘walk in’ atau secara terus tidak dibenarkan.

Ismail Sabri berkata bagi golf, gimnasium, badminton, tenis dan ping pong, kesemua aktiviti itu tertakluk kepada SOP tersendiri antaranya penjarakan fizikal dalam gimnasium, keberadaan individu dalam premis mengikut kapasiti sedia ada, jarak susunan peralatan sebagainya.

Ismail Sabri berkata pengusaha kolam pancing yang ingin beroperasi perlu berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perikanan, manakala rumah rakit dan pelantar memancing (kelong pancing) perlu berdaftar dengan PBT sahaja.

Semua premis hendaklah memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua meter antara setiap pemancing, tempat duduk pemancing ditandakan dengan jelas, dan premis juga hendaklah menyediakan pendaftaran pelanggan melalui MySejahtera, menyediakan pensanitasi atau sabun untuk mencuci tangan, saringan suhu dan sanitasi premis manakala waktu operasi bermula 8 pagi hingga 10 malam.

Beliau berkata mana-mana perkhidmatan rumah bot, sewaan bot atau sampan memancing yang ingin beroperasi perlu berdaftar dengan PBT dan Jabatan Perikanan dan bilangan maksimum penumpang termasuk jurumudi dalam satu bot tidak lebih 50 peratus daripada kapasiti asal.

Walaubagaimanapun, pesta dan sebarang pertandingan memancing tidak dibenarkan.

Mengenai kebenaran institut memandu, arahan ini merangkumi perkhidmatan latihan pemanduan, Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) 01, 02 dan 03, perkhidmatan praujian pemanduan (QTI), perkhidmatan ujian teori dan praktikal (litar dan jalan raya), manakala waktu operasi bermula 7.30 pagi sehingga 8.30 malam. 

Related posts

Leave a Comment