Brunei lapor 9 lagi kes import

BANDAR SERI BEGAWAN 12 Julai. – Dua hari berturut-turut, 10 dan 11 Julai Brunei Darussalam merekodkan kes baharu Covid-19, semuanya kes import menjadikan jumlah keseluruhan kes 275 orang.

Pada 10 Julai, kes 267, melibatkan seorang lelaki, berumur 22 tahun, dan kes 268, seorang perempuan, berumur 28 tahun, kedua-duanya dari Jakarta, Indonesia, yang tiba pada 27 Jun  dan mereka tidak mengalami sebarang tanda-tanda jangkitan.

Penyiasatan dan pengesanan kontak mengesahkan tidak ada kontak terdekat bagi kedua-dua kes baharu ini memandangkan mereka dikuarantin sebaik saja tiba ke negara ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan tujuh kes import baharu melibatkan enam orang ketibaan dari Jakarta dan seorang dari Bangkok.

Ketibaan dari Jakarta pada 27 Jun melibatkan dua wanita berusia 35 dan 28 tahun manakala empat lelaki berusia antara 26 hingga 42 tahun manakala seorang lagi,  lelaki berumur 38 tahun tiba daripada Bangkok melalui Singapura pada 27 Jun.

Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan Brunei Darussalam mencatatkan 431 hari kes sifar, iaitu bagi kes terakhir jangkitan tempatan Covid-19 sejak laporan terakhir dicatatkan, pada 6 Mei 2020.

Setakat ini, sebanyak 134 kes import dicatatkan, iaitu sejak kes terakhir jangkitan tempatan berkenaan dilaporkan.

Sebanyak 17 kes aktif menjalani rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan kesemua kes dalam keadaan yang baik manakala jumlah keseluruhan kes yang sembuh setakat ini seramai 255 orang.

Mengenai status vaksinasi Covid-19, seramai 3,594 menerima suntikan vaksin pada 10 Julai 2021 manakala seramai 94,301 (20.8 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Seramai 17,750 iaitu sekitar 3.8 peratus pula menerima dua dos suntikan vaksin manakala seramai 15,810 warga emas menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Related posts

Leave a Comment