MUIS sahkan tauliah digantung

MAJLIS Ugama Islam Singapura ( MUIS) mengesahkan, telah menggantung tauliah guru agama Ruqayyah Ramli yang didapati taksub dengan fahaman radikal suaminya yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut kenyataan MUIS hari ini, penggantungan itu dibuat sejak 16 Oktober lalu setelah Lembaga Pengiktirafan Asatizah mendapat makluman berhubung kes ini daripada Kementerian Dalam Negeri.

“Syukurlah, siasatan oleh agensi keselamatan tidak menunjukkan individu tersebut menyebarkan pandangan pro-ISIS kepada orang lain dan berharap Ruqayyah dapat menjauhkan diri daripada fahaman radikal itu selepas mendapat kaunseling,” kata kenyataan itu.

Ruqayyah mendapat tauliah guru agama sambilan di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) pada tahun 2017 sebelum suaminya ditahan pihak berkuasa Singapura pada 2020 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA) kerana menyokong ISIS.

Melalui kenyataan itu MUIS menegaskan bahawa Islam dan masyarakat Muslim Singapura dengan tegas menolak dan mengutuk sebarang tindakan keganasan atas nama agama.

MUIS juga mengingatkan penahanan itu sebagai satu peringatan kepada masyarakat bahawa pengaruh ekstremisme seumpama itu masih wujud dan berbahaya terutama melalui sumber yang tersebar melalui atas talian.

“Kami menggesa ahli keluarga, rakan, pelajar dan rakan sekerja untuk melaporkan mana-mana individu yang menyokong ideologi kekerasan atau ekstremis kepada pihak berwajib dengan segera. Bersama-sama, kita memainkan peranan untuk menjaga keselamatan masyarakat dan negara,” kata MUIS.

Related posts

Leave a Comment