ISIS: Singapura pulangkan rakyat Malaysia

SINGAPURA 9 Feb. – Seorang lelaki warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Julai 2020 kerana menyokong pertubuhan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), manakala isterinya, rakyat Singapura yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), dikenakan Arahan Sekatan (RO).

Menurut kenyataan media Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) hari ini,  wanita tersebut dipengaruhi oleh suaminya yang taksub dengan fahaman radikal.

Mohd Firdaus Kamal Indtzam, 33 pekerja pembersihan sudah dihantar pulang setelah selesai siasatan ISD manakala isterinya, Ruqayyah Ramli, 34 suri rumah dan asatizah sambilan yang diiktiraf pada September 2017 dikenakan RO selama dua tahun serta menjalani kaunseling.

ISD sebelum ini mengumumkan penahanan seorang remaja India yang merancang untuk menyerang dua masjid di negara itu, seperti yang berlaku dalam pembunuhan Christchurch dua tahun lalu.

Firdaus, ditahan di bawah ISA pada Julai 2020 setelah siasatan mendapati dia menyokong kumpulan pengganas ISIS.

Dia mula menjadi radikal sejak 2016 apabila cuba mendalami ilmu agama dengan mencari maklumat di Internet. Bagaimanapun dalam pencarian itu, dia menemui propaganda ISIS.

Melalui pendedahan berterusan kepada bahan-bahan pro-ISIS, Firdaus semakin taksub dengan propaganda ISIS yang mendakwa dia berjuang untuk Islam dan mewajarkan penggunaan keganasan untuk membentuk sebuah wilayah Islam.

Menurut ISD, Firdaus tetap teguh menyokong ISIS walaupun setelah kumpulan pengganas itu hilang pengaruh dan tumbang di Syria dan Iraq.

Melalui akaun media sosialnya, dia aktif memuat naik bahan-bahan yang menyokong ISIS dan jihad bersenjata.

Ketaksuban terhadap ISIS begitu tinggi sehinggakan dia menggantung bendera kumpulan itu di rumahnya pada Mac tahun lalu sebagai tanda kesetiaan.

Firdaus juga berhasrat membawa isterinya ke Syria untuk berjuang bersama ISIS.

Dia juga sanggup mati di medan pertempuran demi ISIS dan bersedia melancarkan serangan ke atas negara-negara yang dianggapnya “menzalimi Muslim, atau yang dianggapnya sebagai munafik kerana menyokong negara-negara Barat”.

ISD berkata, siasatan yang dijalankan dengan kerjasama Cawangan Khas Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menemui tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Firdaus sudah membuat sebarang rancangan khusus untuk menyerang atau melancarkan sebarang tindakan pengganas di Singapura.

Selepas selesai menjalankan siasatan, pas kerja Firdaus ditarik balik dan dia diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia pada Ogos 2020.

Sementara itu siasatan ISD mendapati, Ruqayyah, mula terpengaruh dengan fahaman tegar suaminya sejak pernikahan mereka pada Disember 2018.

Walaupun pada peringkat awal timbul keraguan, Ruqayyah kemudian semakin terpengaruh dengan ideologi ISIS yang menyifatkan keganasan terhadap apa yang dianggap oleh kumpulan itu sebagai penindasan ke atas Islam adalah wajar.

Ruqayyah menyokong hasrat Firdaus berjuang di Syria dan dia sanggup menemani suaminya dan membawa bersama kedua-dua anak mereka.

Menurut ISD, dia yakin peranannya di zon konflik adalah menjaga keluarga (memasak dan melakukan kerja rumah) dan membantu anggota ISIS yang cedera.

ISD juga menjelaskan siasatan tidak menunjukkan bahawa Ruqayyah cuba menyebarkan ideologi pro-ISIS kepada orang lain.

Pengiktirafan ARS Ruqayyah sudah ditarik balik dan dia tidak lagi dibenarkan untuk mengadakan sebarang kelas agama sebagai sebahagian daripada syarat-syarat di bawah RO selama dua tahun bermula Ogos 2020.

Related posts

Leave a Comment