Jemaah di masjid, surau Perak ditambah

IPOH 9 Feb. – Jumlah jemaah solat Jumaat,  solat fardu dan solat jenazah di masjid-masjid dan surau di seluruh negeri Perak akan ditingkatkan antara 120 hingga 250 orang (mengikut kategori masjid) mulai esok, 10 Februari.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah berkenan dengan cadangan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak untuk menambah bilangan jemaah.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini dalam kenyataan berkata, had maksimum ditambah kepada 120 orang jemaah dalam sesebuah masjid atau surau bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah (tidak termasuk ahli jawatankuasa dan pegawai masjid atau surau).

Masjid Negeri (Masjid Sultan Idris Shah), Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh serta Masjid Ubudiah Kuala Kangsar dan masjid-masjid utama di daerah-daerah, dibenarkan menerima had maksimum 250 orang jemaah.

Di samping itu masjid dan surau dalam kawasan Kem Tentera dan Polis, dibenarkan menerima maksimum 250 orang jemaah, seboleh-bolehnya diutamakan dan dibatasi kepada para anggota yang tinggal dalam kawasan kem berkaitan.

Begitu juga masjid dan surau yang terletak dalam kampus Universiti, Maktab, Kolej dan Politeknik.

Selain itu, aktiviti agama berunsur ilmu dibenarkan antara selesai solat Maghrib sementara menantikan masuknya waktu Isyak sementara kuliah ilmu hari Jumaat tidak melebihi 20 minit sementara menanti azan.

Menurut kenyataan itu lagi, majlis jamuan tidak dibenarkan sama ada di  dalam atau di pekarangan masjid dan surau.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP), jemaah perlu mematuhi jarak fizikal,  membawa beg menyimpan kasut yang membolehkan jemaah membawa kasut ke dalam masjid dan surau dan hanya jemaah warganegara Malaysia lelaki sahaja dalam lingkungan usia 16 tahun hingga 70 tahun.

Bagaimanapun semua aktiviti agama termasuk solat Jumaat dan solat fardu tidak dibenarkan di masjid dan surau dalam kawasan-kawasan yang diisytiharkan PKPD.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah juga menzahirkan titah nasihat agar semua masjid dan surau menganjurkan solat sunat hajat harian, memohon ihsan dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wataála agar bencana kesihatan yang sedang melanda dunia ketika ini berjaya dibendung dan kehidupan insan dapat kembali normal.

(Foto Masjid Pulau Pangkor)

Related posts

Leave a Comment