Lonjakan kes turut dirasai Thailand

BANGKOK 9 Feb. – Thailand turut menyaksikan lonjakan kes baharu Covid-19 apabila jumlah kes harian yang direkodkan negara itu meningkat kepada 13,182 berbanding semalam sebanyak 10,398 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan Awam, sebanyak 24 kematian melibatkan individu berusia antara 32 dan 95 tahun direkodkan berbanding 17 orang semalam.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 2,531,051 dengan jumlah keseluruhan kematian pula 22,344 orang.

Bangkok merekodkan enam kematian di samping dua kes di Ayutthaya, masing-masing satu di Chon Buri, Nakhon Nayok dan Suphan Buri; enam kes di timur laut – Khon Kaen (1), Nakhon Ratchasima (2), Chaiyaphum (2) dan Ubon Ratchathani (1).

Di wilayah selatan pula di Krabi (3) dan Phatthalung (1); di utara pula di Lampang (2) dan Chiang Rai (1).

Terdapat 13,003 kes baharu dalam kalangan penduduk awam, 40 dalam kalangan penghuni penjara dan 139 kes import.

Bangkok terus mengekalkan kes tertinggi iaitu 2,757, diikuti 1,133 di Samut Prakan, Chon Buri 641, Nonthaburi 560, Phuket 425, Samut Sakhon 366, Nakhon Ratchasima 306, Ratchaburi 293, Maha Sarakham 277 dan Chiang Mai 252.

Kes import pula termasuk dari Rusia 51, Kazakhstan 9, lapan kes masing-masing di Jerman dan Perancis dan enam masing-masing di Estonia dan Ukraine.

Pada Selasa, sebanyak 98,830 orang mendapatkan rawatan di hospital termasuk 547 kes kritikal dan 111 bergantung kepada ventilator.

Dalam tempoh 24 jam, sebanyak 8,571 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah keseluruhan 2,409,877 kes sembuh.

Sejak pandemik bermula awal tahun 2020, sebanyak 2,531,051 kes direkodkan termasuk 307,616 kes tahun ini dengan 2,409,877 kes sembuh manakala jumlah  kematian tahun ini adalah 646.

Related posts

Leave a Comment